SUKAN

Pengadil Malaysia-China buat hal

Mutu pengadilan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan China di Guangdong, malam tadi, mula menjadi perhatian selepas beberapa keputusan pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyung-jin, mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong Harimau Malaya.

Meskipun skuad negara terpaksa menerima kekalahan 0-2 kepada tuan rumah, perbincangan selepas perlawanan turut tertumpu kepada beberapa insiden yang dianggap kontroversi, khususnya membabitkan kekasaran, keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan tindakan disiplin terhadap pemain Malaysia.

Antara perkara yang menjadi perhatian ialah beberapa kekasaran terhadap kapten Harimau Malaya, Dion Cools dan pemain sayap, Ramadhan Saifullah Usman, yang didakwa tidak menerima tindakan sewajarnya daripada pengadil.

Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi penguatkuasaan undang-undang permainan, terutama ketika kedua-dua pasukan sedang bersaing mendapatkan penguasaan bola.

Bagaimanapun, insiden paling mendapat perhatian berlaku pada minit ke-77 apabila penyerang negara, Fergus Tierney berjaya memasukkan bola ke dalam gawang China.

Jaringan tersebut pada awalnya memberikan harapan kepada Malaysia untuk merapatkan kedudukan, namun pengadil kemudian membatalkannya selepas semakan VAR.

Keputusan berkenaan dipersoalkan susulan dakwaan bahawa sentuhan terakhir sebelum bola sampai kepada Tierney dilakukan oleh pemain pertahanan China.

Persoalan itu menjadi lebih menarik apabila laporan berhubung sebab pembatalan jaringan berkenaan turut menunjukkan perbezaan, dengan ada yang menyebut kesalahan ofsaid dan ada yang merujuk kepada kekasaran dalam gerakan serangan.

Walau bagaimanapun, sentuhan pemain pertahanan tidak semestinya membatalkan kesalahan ofsaid kerana penilaian turut bergantung kepada sama ada pemain berkenaan sengaja memainkan bola atau sekadar melakukan sentuhan yang menyebabkan bola terbias.

Ketegangan perlawanan berterusan apabila Tierney menerima kad kuning kedua pada minit ke-90 sebelum diarahkan keluar padang.

Penyerang negara itu sebelum berkenaan sudah menerima kad kuning pertama pada minit ke-53, sekali gus menyaksikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan hanya 10 pemain.

Namun, tidak semua keputusan pengadil sepanjang pertemuan tersebut memihak kepada China.

Pada minit ketiga, tuan rumah pada mulanya diberikan sepakan penalti, tetapi keputusan itu ditarik balik selepas semakan VAR dilakukan.

Dalam perlawanan berkenaan, China memperoleh dua jaringan menerusi Wang Yudong pada minit ke-10 dan Zhang Yuning sembilan minit kemudian untuk memastikan kemenangan 2-0.

Walaupun keputusan perlawanan tidak berubah, beberapa insiden tersebut memperlihatkan kepentingan ketelusan dan konsistensi dalam pengadilan, terutama apabila keputusan penting boleh mempengaruhi perjalanan sesuatu perlawanan.

Harimau Malaya perlu menerima kekalahan itu sebagai sebahagian daripada proses memperbaiki prestasi pasukan, namun persoalan yang timbul mengenai keputusan pengadil tetap wajar diberikan perhatian berdasarkan fakta dan undang-undang permainan yang berkuat kuasa.