Satu lagi ujian besar menanti beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King apabila mereka bakal berdepan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada perlawanan akhir Masters Jepun 2026, hari ini.
Aksi yang dijadual berlangsung di Gimnasium Wilayah Kumamoto itu dijangka bermula sekitar jam 12.00 tengah hari waktu Malaysia dan akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Grandstand, saluran 810.
Pertembungan tersebut merupakan perlawanan ketiga dalam susunan lima aksi final kejohanan bertaraf Super 500 berkenaan.
Oleh itu, waktu sebenar perlawanan mungkin berubah bergantung kepada tempoh dua pertemuan sebelumnya, iaitu final beregu campuran dan perseorangan lelaki.
Pertemuan pertama antara Aaron-Roy King dan Hoki-Kobayashi itu dijangka menjadi ujian penting buat gandingan Malaysia yang sedang memperlihatkan peningkatan ketara sejak mula bergabung pada Oktober lalu.
Hoki-Kobayashi merupakan pasangan yang memiliki pengalaman luas dalam saingan antarabangsa dan pernah mencipta sejarah apabila muncul juara dunia pada 2021 di Huelva, Sepanyol.
Pasangan Jepun berkenaan turut pernah menduduki ranking nombor satu dunia dan kini berada di tangga ke-10 dalam senarai Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebaliknya, Aaron-Roy King menghuni kedudukan ke-57 dunia, namun sudah membuktikan bahawa perbezaan ranking bukan penghalang untuk mencatat kemenangan ke atas pasangan lebih berpengalaman.
Pada pusingan kedua Masters Jepun, mereka berjaya menyingkirkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berada di ranking kelima dunia menerusi keputusan 21-14, 21-15.
Mereka kemudian meneruskan kemaraan selepas menewaskan pasangan ranking ke-15 dunia dari Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan, 21-16, 21-12.
Dalam aksi separuh akhir semalam, Aaron-Roy King sekali lagi menampilkan persembahan konsisten apabila mengatasi pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard menerusi kemenangan 21-18, 21-18.
Keputusan tersebut melengkapkan empat kemenangan straight set berturut-turut sepanjang kempen mereka di Kumamoto.
Bagaimanapun, cabaran Hoki-Kobayashi tidak boleh dipandang ringan apabila pasangan tuan rumah itu turut berada dalam prestasi baik.
Mereka mara ke final selepas menundukkan Wang Chang-Xie Haonan dari China dengan keputusan 21-15, 19-21, 21-17 pada separuh akhir.
Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri turut memberikan dimensi berbeza kepada pertembungan yang bakal menentukan juara kategori beregu lelaki Masters Jepun kali ini.
Bagi pasangan negara, kemenangan akan membolehkan mereka meraih gelaran kedua dalam tempoh kerjasama yang masih singkat selepas menjuarai Terbuka Artik pada Oktober lalu.
Peminat badminton tanah air boleh menyaksikan aksi Aaron Tai-Yap Roy King menentang Takuro Hoki-Yugo Kobayashi secara langsung menerusi Astro Grandstand saluran 810 sekitar jam 12.00 tengah hari ini.