Beregu lelaki muda negara, Aaron Tai-Yap Roy King bakal menggalas misi penting apabila turun menentang pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Jepun 2026, hari ini.
Pertemuan di Gimnasium Wilayah Kumamoto itu bukan sekadar menentukan tiket ke final, malah memberikan peluang kepada Aaron-Roy King untuk membalas kekalahan dua beregu Malaysia yang terlebih dahulu disingkirkan pasangan Denmark berkenaan.
Lundgaard-Vestergaard sebelum ini menewaskan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong pada pusingan pertama sebelum menyingkirkan pilihan kelapan kejohanan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada pusingan kedua.
Pasangan ranking ke-14 dunia itu kemudian meneruskan kemaraan selepas mengatasi wakil tuan rumah, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-14 pada suku akhir.
Bagaimanapun, Aaron-Roy King turut hadir dengan prestasi memberangsangkan selepas mencatat dua kemenangan mengejut dalam kejohanan bertaraf Super 500 tersebut.
Pasangan ranking ke-57 dunia itu menyingkirkan beregu nombor lima dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dengan keputusan 21-14, 21-15 pada pusingan kedua.
Mereka kemudian meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan wakil Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan yang berada di ranking ke-15 dunia, 21-16, 21-12 dalam tempoh hanya 28 minit pada suku akhir semalam.
Kejayaan tersebut menjadikan Aaron-Roy King satu-satunya wakil Malaysia yang masih bertahan di Kumamoto.
Jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai percaya gandingan muda itu mempunyai peluang untuk melangkah ke final sekiranya mampu mengekalkan tahap permainan dan tumpuan sepanjang perlawanan.
“Pasangan Denmark sedang berada dalam prestasi terbaik, begitu juga Aaron Tai-Roy King.
“Masih ada peluang untuk Aaron Tai-Roy King mara ke final. Saya percaya pasangan yang dapat mengekalkan fokus dan mempamerkan prestasi terbaik akan memenangi pertemuan separuh akhir itu,” katanya.
Menariknya, kemenangan Aaron-Roy King turut membawa kepentingan kepada pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih berusaha melayakkan diri ke BWF World Tour Finals di Hangzhou, bulan depan.
Lundgaard-Vestergaard merupakan antara pencabar terdekat Aaron-Wooi Yik dalam perebutan lapan tempat ke kejohanan penutup musim tersebut.
Sekiranya Aaron-Roy King berjaya menyingkirkan pasangan Denmark itu, mereka bukan sahaja melangkah ke final, malah dapat menghalang lawan daripada mengutip mata tambahan melalui kemaraan ke perlawanan akhir.
Bagi Aaron-Roy King sendiri, kemenangan hari ini bakal membawa mereka ke final kedua sejak mula digandingkan bulan lalu, selepas mencipta kejutan dengan menjuarai Terbuka Artik 2026.