SUKAN

TERKINI : Brazil dimalukan pasukan Asia

Jepun mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Brazil dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Singapura, hari ini, selepas jaringan Tatsuhiro Sakamoto pada masa kecederaan memastikan kejayaan skuad kendalian Hajime Moriyasu.

Pertemuan yang berlangsung dalam saingan Mizuho Blue Challenge itu menyaksikan Jepun terlebih dahulu mendahului dua jaringan sebelum Brazil bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gol bintang Real Madrid, Vinicius Jr.

Bagaimanapun, ketika perlawanan seakan menuju keputusan seri, Sakamoto muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-90+1.

Kemenangan tersebut turut memberikan kepuasan tersendiri kepada Jepun yang sebelum ini tersingkir di tangan Brazil pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026, Jun lalu.

Pada pertemuan tersebut, Jepun tewas 1-2 selepas Gabriel Martinelli menjaringkan gol kemenangan Brazil pada masa kecederaan.

Dalam aksi hari ini, Jepun memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Takefusa Kubo membuka jaringan pada minit ke-15 untuk memberikan kelebihan awal kepada pasukan Asia itu.

Empat minit kemudian, Keito Nakamura menggandakan kedudukan selepas menyempurnakan hantaran Shuto Nakano, sekali gus meletakkan Brazil dalam keadaan tertekan.

Bagaimanapun, pasukan kendalian Carlo Ancelotti tidak mengambil masa terlalu lama untuk memberikan tindak balas apabila Vinicius merapatkan jurang menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-33.

Jaringan tersebut membolehkan Brazil mengurangkan defisit kepada 1-2 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua, Brazil meningkatkan tekanan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-75 apabila Vinicius sekali lagi menemui sasaran menerusi rembatan yang terkena tiang sebelum menerjah gawang Jepun.

Kedudukan 2-2 menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menentukan kemenangan, dengan Endrick hampir meletakkan Brazil di hadapan apabila percubaannya terkena palang.

Namun, Jepun akhirnya memperoleh jaringan kemenangan menerusi Sakamoto yang bijak memanfaatkan bola muntah hasil percubaan yang terkena pemain lawan.

Jaringan pada masa kecederaan itu turut mencetuskan suasana tegang apabila pemain dan pegawai Brazil mempertikaikan keputusan pengadil berhubung kemungkinan kekasaran terhadap Joao Gomes dalam gerakan sebelum gol tersebut.

Bantahan berkenaan menyaksikan Ancelotti serta penyerang Brazil, Raphinha, dilayangkan kad merah.

Raphinha yang ketika itu sudah dikeluarkan daripada permainan turut dikenakan tindakan selepas membantah keputusan pengadil.

Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus memberikan kemenangan bermakna kepada Jepun dalam pertemuan pertama kedua-dua negara sejak Piala Dunia 2026.

Jepun dijadual meneruskan aksi persahabatan menentang Paraguay pada 17 November ini, manakala Brazil bakal berdepan Singapura pada hari yang sama.