SUKAN

Ajaib: Ketinggalan 5-15 bangkit menang straight set , TewaskanJuara Olimpik

Pemain perseorangan wanita India, Rakshitha Sree Santhosh Ramraj mencipta pencapaian terbesar dalam kariernya apabila berjaya menewaskan individu yang selama ini menjadi idolanya, Chen Yu Fei, pada pusingan kedua Terbuka Hong Kong 2026, semalam.

Rakshitha yang baru berusia 19 tahun mencetuskan kejutan apabila menyingkirkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menerusi kemenangan straight set 21-18, 24-22 dalam masa 45 minit.

Keputusan tersebut menjadi perhatian apabila mengambil kira jurang kedudukan dunia antara kedua-dua pemain, dengan Rakshitha berada di ranking ke-47 berbanding Chen Yu Fei yang menghuni tangga keempat dunia.

Selain mempunyai ranking lebih tinggi, pemain China itu turut diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dan merupakan antara nama utama dalam saingan perseorangan wanita antarabangsa.

Bagaimanapun, perbezaan pengalaman tidak menghalang Rakshitha daripada memberikan tentangan sehingga berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir.

Kemenangan tersebut lebih bermakna apabila pemain muda India itu mengakui Chen Yu Fei merupakan individu yang paling dikaguminya dalam sukan badminton.

Menurut Rakshitha, beliau sendiri sukar mempercayai keputusan yang dicatatkan selepas mengatasi pemain yang pernah menjadi sumber inspirasinya.

“Ini antara kemenangan terbesar dalam karier saya setakat ini. Dia adalah idola terbesar saya dan saya masih tidak percaya dapat menewaskannya.

“Saya rasa ini akan menjadi antara hari paling bermakna dalam karier badminton saya,” katanya seperti dilaporkan media India selepas perlawanan.

Rakshitha turut menjelaskan bahawa beliau berusaha mengekalkan keyakinan sepanjang perlawanan tanpa terlalu memikirkan reputasi lawannya.

“Saya sangat gembira kerana dapat beraksi dengan baik menentangnya. Apa yang saya cuba lakukan di gelanggang menjadi dan saya tidak berputus asa pada bila-bila masa.

“Saya bermain dengan bebas dan dapat melakukan pukulan yang saya mahukan. Saya gembira kerana serangan saya juga berkesan,” jelasnya.

Pada perlawanan tersebut, Rakshitha berjaya mengatasi Chen Yu Fei 21-18 pada set pertama sebelum berdepan cabaran besar pada set kedua.

Pemain China itu mendahului 15-5 dan dilihat berada pada kedudukan baik untuk menyamakan keputusan perlawanan.

Namun, Rakshitha berjaya bangkit mengejar sehingga kedudukan 19-19 sebelum menyelamatkan dua mata kemenangan set milik lawan.

Beliau kemudian meraih tiga mata terakhir ketika ketinggalan 21-22 untuk menamatkan set kedua dengan kemenangan 24-22.

Kejayaan tersebut turut menamatkan penantian tujuh tahun badminton India untuk kembali mencatat kemenangan ke atas Chen Yu Fei selepas P. V. Sindhu menewaskan pemain China itu pada Kejohanan Dunia 2019.

Rakshitha yang menjalani latihan di Akademi Badminton Pullela Gopichand, Hyderabad, kini mempunyai peluang meneruskan kejayaan tersebut pada peringkat suku akhir.

Beliau dijadual berdepan seorang lagi pemain berpengalaman, Pornpawee Chochuwong dari Thailand, yang merupakan pilihan kelima kejohanan.

Bagi Rakshitha, kemenangan ke atas Chen Yu Fei bukan sahaja menjadi pencapaian peribadi, malah membuktikan kemampuannya bersaing dengan pemain yang berada jauh lebih tinggi dalam ranking dunia.