SUKAN

Malaysia sah ke suku akhir Piala Dunia

Malaysia memastikan tempat ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 selepas bangkit menewaskan India 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Titiwangsa, malam tadi.

Kemenangan itu hadir hanya beberapa jam selepas skuad kuadran negara menerima tamparan apabila dimalukan Korea Selatan dalam aksi sebelah petang, sekali gus meletakkan tekanan besar ke atas pemain untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan kedua hari ini.

Situasi dalam kumpulan menjadi semakin sengit apabila ketiga-tiga pasukan menamatkan saingan dengan dua kemenangan, namun skuad bimbingan Zulkarnain Arif berjaya mengesahkan tiket ke suku akhir selaku naib juara kumpulan berdasarkan kelebihan pungutan mata permainan keseluruhan bersama India.

Dalam perlawanan yang berlangsung dalam suasana cukup tegang itu, Malaysia mempertaruhkan kuartet Afifuddin Razali Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi bagi menghadapi cabaran India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar serta Sorokhaibam Malemnganba Singh.

Aksi awal memperlihatkan kedua-dua pasukan tampil berhati-hati dengan permainan lebih banyak tertumpu kepada kawalan bola dan disiplin bertahan. Malaysia bagaimanapun gagal mengekalkan kestabilan ketika mata mula memasuki fasa kritikal apabila kesilapan pada hadangan serta ketepatan rejaman memberi ruang kepada India menguasai momentum.

Kedudukan yang sebelum itu terikat 7-7 berubah memihak kepada India apabila pasukan lawan lebih konsisten memanfaatkan kelemahan benteng negara. Malaysia turut dilihat sedikit tertekan dengan rentak agresif lawan sebelum tewas 13-15 pada set pertama.

Kekalahan set pembukaan itu meningkatkan lagi tekanan terhadap skuad negara memandangkan mereka tidak mempunyai pilihan selain bangkit sekiranya mahu meneruskan kemaraan dalam kejohanan.

Malaysia kemudian kembali dengan pendekatan lebih tersusun pada set kedua. Sokongan padu penyokong di Stadium Titiwangsa turut memainkan peranan penting dalam menaikkan semangat pemain untuk mengubah rentak permainan.

Kuartet negara mula memperkemaskan koordinasi ketika bertahan selain lebih tajam dalam melakukan serangan. Perubahan itu jelas membantu Malaysia mengurangkan kesilapan mudah yang menghukum mereka dalam set pertama.

Pertarungan set kedua berlangsung cukup sengit apabila kedua-dua pasukan saling mengejar mata sehingga penghujung permainan. Dalam tekanan yang tinggi, pemain negara berjaya menampilkan ketahanan mental yang lebih baik untuk menutup set tersebut dengan kemenangan 17-15.

Kejayaan mengheret perlawanan ke set penentuan nyata memberi suntikan keyakinan kepada Malaysia yang mula menguasai rentak permainan.

Malaysia membuka set ketiga dengan cukup cemerlang apabila mendahului 7-1 hasil permainan lebih kemas dan konsisten. India yang cuba bangkit selepas itu gagal memecahkan momentum skuad negara yang semakin yakin mengawal tempo perlawanan.

Keberkesanan rejaman serta disiplin ketika bertahan menjadi faktor utama yang membolehkan Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan 15-10.

Keputusan itu sekali gus memastikan skuad negara mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan C dan dijadualkan bertemu juara Kumpulan B yang hanya akan ditentukan dalam perlawanan esok.

Ketua pasukan, Amirul Zazwan mengakui kekalahan kepada Korea Selatan sebelum itu menjadikan aksi menentang India sebagai perlawanan wajib menang buat pasukan negara.

Menurutnya, pemain segera melakukan penyesuaian selepas menyedari banyak kesilapan dilakukan dalam set pertama sehingga memberi kelebihan kepada lawan.

“Ini perlawanan hidup mati kami sebab pagi tadi dah kalah dengan Korea Selatan, jadi, memang nak menang.

“Kita dah cuba untuk set pertama, tapi banyak membuat kesalahan yang tak sepatutnya. Bagaimanapun, kita sudah bangkit kembali di set kedua tie-break. Alhamdulillah, malam ini boleh menang dengan India,” katanya selepas perlawanan malam tadi.

Kemenangan itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada skuad negara, malah membuktikan kemampuan pemain untuk bangkit dalam situasi sukar ketika tekanan semakin memuncak dalam perebutan slot ke pusingan kalah mati.