Bekas penjaga gol Denmark, Peter Schmeichel, mempersoalkan keputusan pengadil yang mengesahkan jaringan Lionel Messi ketika Argentina berdepan Austria, sambil menegaskan gol yang mencipta rekod baharu itu sepatutnya tidak dibenarkan.
Messi mencatat sejarah apabila menjaringkan gol ke-17 peribadinya dalam Piala Dunia ketika membuat penampilan ke-28 dalam kejohanan tersebut. Bintang Argentina itu menyempurnakan hantaran lintang dengan rembatan kaki kiri dari dalam kawasan penalti untuk memecahkan rekod penjaring terbanyak kejohanan.
Bagaimanapun, Schmeichel melihat situasi tersebut daripada sudut berbeza. Bekas pemain Manchester United yang kini menjadi pengulas Fox Sports percaya jaringan itu berpunca daripada satu kekasaran yang tidak diberikan oleh pengadil, Amin Mohamed Omar.
Menurut Schmeichel, Alexis Mac Allister telah mengasari pemain Austria, Xaver Schlager, dalam fasa awal serangan yang akhirnya menghasilkan gol kepada Argentina. Legenda Denmark yang membuat 129 penampilan antarabangsa itu turut berpendapat VAR sepatutnya memainkan peranan dalam menilai semula insiden berkenaan.
Ketika mengulas perlawanan pada waktu rehat separuh masa, Schmeichel berkata: “Saya tidak fikir gol itu sepatutnya dikira.
“Fikirkan bagaimana situasi itu bermula, terdapat sentuhan dari belakang ke atas Xaver Schlager. Ia adalah sepakan percuma, Mac Allister menjatuhkan pemain itu.
“Sepatutnya pengadil memberikan sepakan percuma. VAR sepatutnya menyemak semula insiden itu dan ia kesilapan oleh pengadil dan sebab itu saya berasa sedikit kecewa.”
Kenyataan Schmeichel itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat di media sosial. Sebahagian daripada mereka melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan yang dibuat dan mempersoalkan ketiadaan campur tangan teknologi video.
Seorang pengguna media sosial menulis: “FIFA korup. Bagi tahu saya mengapa tiada satu pun video menunjukkan kekasaran ke atas pemain Austria yang membawa kepada gol Messi? Tiada VAR, tiada apa-apa. Penipu.”
Seorang lagi peminat pula berkata: “Adakah FIFA benar-benar cuba memberi kelebihan kepada Argentina? Terdapat kekasaran jelas ke atas pemain Austria sebelum Argentina menjaringkan gol. Perlawanan sebelum ini Messi juga melakukan kekasaran yang sepatutnya dilayangkan kad merah. Apa sebenarnya yang sedang berlaku?”
Turut meluahkan pandangan ialah seorang lagi penyokong yang berkata: “Kekasaran yang jelas sebelum gol Messi itu. Pada tahap ini ia benar-benar memalukan.”
Walaupun terdapat kritikan daripada Schmeichel serta reaksi peminat yang mempersoalkan keputusan berkenaan, gol tersebut tetap dikekalkan dan menjadi sebahagian daripada rekod baharu yang dicatatkan Messi.
Tidak terhenti setakat itu, pemain Argentina berkenaan terus menambah tekanan kepada Austria apabila menjaringkan satu lagi gol pada masa kecederaan.
Jaringan kedua tersebut menyaksikan Messi meningkatkan jumlah keseluruhan golnya kepada 18 sepanjang karier di Piala Dunia. Rekod itu membolehkan beliau menduduki tangga teratas senarai penjaring terbanyak sepanjang sejarah kejohanan.
Walaupun pencapaian itu menjadi detik penting buat Argentina, perdebatan mengenai kesahihan gol pertama Messi terus menjadi bahan perbincangan selepas wisel penamat, khususnya melibatkan keputusan pengadil dan kegagalan VAR mengubah keputusan yang dibuat di atas padang.