SUKAN

Ada gerakan dari Indonesia protes kepada FIFA dan AFC untuk aksi Malaysia-Singapura

Gerakan dalam kalangan penyokong Indonesia mula mendapat perhatian selepas beberapa pihak mendesak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) supaya meneliti perlawanan Malaysia menentang Singapura dalam aksi Piala ASEAN FIFA 2026, malam tadi.

Desakan itu muncul selepas beberapa kenyataan tular di media sosial mendakwa pertemuan antara Harimau Malaya dan The Lions sudah dirancang bagi memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam perebutan tiket ke final.

Antara teori yang menjadi perbincangan ialah dakwaan Singapura sengaja ‘melepaskan’ perlawanan sehingga membolehkan Malaysia mencatat kemenangan besar 6-0.

Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti dikemukakan yang dapat mengesahkan dakwaan berkenaan.

Ia kekal sebagai spekulasi serta tuduhan yang tersebar dalam kalangan pengguna media sosial dan tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa perlawanan berkenaan telah diatur.

Namun, perkara itu tidak menghalang sebahagian penyokong Sang Garuda daripada mendesak FIFA dan AFC supaya masuk campur serta menjalankan penelitian terhadap aksi tersebut.

Kemenangan 6-0 itu pada satu ketika hampir memberikan Malaysia tiket ke final selepas Harimau Malaya berjaya menghasilkan keputusan besar yang diperlukan dalam perlawanan terakhir mereka.

Pemain negara turut meraikan kejayaan berkenaan selepas tamat aksi sebelum keadaan berubah menerusi perkembangan perlawanan Indonesia menentang Bangladesh.

Indonesia yang sedang memburu margin kemenangan diperlukan akhirnya mencatat kemenangan dramatik 9-2 untuk mengatasi Malaysia dalam persaingan kumpulan dan memastikan tiket ke final menjadi milik Sang Garuda.

Keputusan itu menyebabkan kemenangan enam gol tanpa balas Malaysia ke atas Singapura tidak lagi mencukupi.

Dalam masa sama, rekod pertemuan sebelum ini menunjukkan kemenangan 6-0 bukan keputusan pertama pernah dicatat Malaysia ke atas Singapura.

Malaysia turut merekodkan keputusan sama pada Kejohanan Merdeka 1978 serta ketika Kelayakan Sukan Olimpik 1976.

Fakta tersebut memberikan konteks kepada keputusan besar malam tadi, namun tidak menghentikan spekulasi dalam kalangan sebahagian penyokong Indonesia yang terus mempersoalkan perjalanan aksi berkenaan.

Buat masa ini, apa yang tersebar hanyalah tuntutan dan dakwaan daripada penyokong serta perbincangan di media sosial.

Tiada kesahihan dapat dibuktikan bahawa Singapura sengaja memberikan laluan kepada Malaysia atau perlawanan itu telah dirancang.

Malaysia pula selepas gagal mendapatkan tiket ke final akan meneruskan cabaran dengan bertemu naib juara Kumpulan B dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.