SUKAN

TERKINI : FAM sah akan buat permohonan Rasmi ke FIFA isu masa tambahan Indonesia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah rasmi dengan memaklumkan akan mengemukakan permohonan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu masa tambahan dalam aksi Indonesia menentang Bangladesh pada Piala ASEAN FIFA 2026.

Tindakan itu dibuat selepas tempoh tambahan dalam perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi mencetuskan persoalan, terutama selepas dua gol lewat membantu Indonesia mencatat kemenangan 9-2 dan sekali gus mengatasi Malaysia dalam perebutan tempat ke final.

Dalam kenyataan terbaharu, FAM meminta FIFA meneliti insiden berkenaan serta memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan pegawai perlawanan, termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

FAM memilih untuk membawa perkara itu melalui saluran rasmi selepas timbul pelbagai reaksi susulan perjalanan perlawanan yang menyaksikan Indonesia menambah dua jaringan pada minit-minit akhir.

Dalam aksi tersebut, Indonesia mendahului 7-2 sebelum Luke Vickery menjaringkan gol pada minit ke-90, diikuti jaringan Farhaan Ali Wahid untuk Bangladesh pada minit ke-90+1.

Indonesia kemudian menambah dua lagi gol menerusi Kevin Diks pada minit ke-96 dan Mitchell Baker pada minit ke-97 untuk melengkapkan kemenangan 9-2.

FIFA sendiri merekodkan kedua-dua jaringan terakhir berkenaan sebagai gol masa tambahan.

Kemenangan itu menjadi cukup penting kerana Indonesia dan Malaysia masing-masing menamatkan saingan Kumpulan A dengan tujuh mata serta perbezaan jaringan yang sama.

Namun, Indonesia berada di hadapan berdasarkan jumlah jaringan apabila mengumpul 11 gol berbanding sembilan milik Malaysia.

Harimau Malaya sebelum itu sudah melakukan tugas mereka dengan membelasah Singapura 6-0 di Bandung menerusi hatrik Bergson Da Silva selain jaringan Stuart Wilkin, Paulo Josue dan Muhamad Syahir Bashah.

Namun, keputusan besar itu masih belum mencukupi untuk membawa Malaysia ke final selepas Indonesia berjaya menambah dua gol lagi pada penghujung aksi di Jakarta.

Isu masa tambahan turut mendapat perhatian beberapa pemain negara sebelum ini.

Bergson menyuarakan persoalan menerusi ruangan komen Instagram, manakala Arif Aiman Hanapi mengulang siar beberapa video berkaitan situasi masa tambahan. Nazmi Faiz Mansor pula turut berkongsi paparan masa tambahan menerusi Instagram.

Bagaimanapun, tindakan FAM kali ini membawa perkara tersebut ke tahap rasmi apabila badan induk bola sepak negara itu mahu mendapatkan penjelasan terus daripada FIFA.

FAM tidak membuat kesimpulan mengenai apa yang berlaku, sebaliknya mahu FIFA menjelaskan asas keputusan pegawai perlawanan dan memastikan setiap prosedur berkaitan tempoh tambahan telah dipatuhi.

Langkah itu kini meletakkan perhatian kepada maklum balas rasmi FIFA selepas persoalan yang sebelum ini berlegar dalam kalangan pemain dan penyokong dibawa melalui saluran rasmi oleh FAM.