SUKAN

Hati Azeem Fahmi Terguris

“Saya tidak berlari untuk menjadi wira.”

Itu penegasan pelari pecut negara, Azeem Fahmi selepas tampil menjawab dakwaan yang mempersoalkan kecederaannya ketika final 100 meter Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Azeem mengakui dakwaan berkenaan cukup mengguris perasaannya, terutama apabila kredibiliti serta kelayakannya menyarung jersi kebangsaan turut dipersoalkan selepas dia terpaksa menghentikan larian pada awal final akibat kesakitan di bahagian pangkal paha.

Menurut pelari kelahiran Perak itu, dia sudah memberikan segala-galanya untuk sampai ke pentas terbesar Asia dan sanggup mengambil risiko untuk terus beraksi dalam acara berganti-ganti walaupun mengalami kecederaan.

“Saya sangat marah ketika pertama kali membaca laporan yang mempersoalkan kecederaan saya. Kemudian saya berhenti seketika dan bertanya kepada diri sendiri mengapa naratif seperti itu wujud.

“Ia memang menyentuh perasaan saya, tetapi saya memilih untuk menjawab dengan penuh maruah serta mengingatkan diri sendiri mengapa saya berada di sini dan segala yang telah saya lakukan untuk sampai ke tahap ini,” katanya menerusi luahan hati di Story Instagram miliknya.

Azeem menjelaskan kesakitan di pangkal paha sudah dirasainya sebelum final 100m sehingga dia memakai pita sokongan sejak pusingan pertama.

Bagaimanapun, keadaan itu bertambah buruk selepas dia melakukan pemanasan untuk permulaan blok sebelum terpaksa menghentikan larian pada awal perlumbaan kerana tidak mampu meneruskannya.

“Selepas pemeriksaan menyeluruh oleh doktor dan ahli fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN), kami mendapati terdapat koyakan separa pada otot aduktor (pangkal paha) saya. Saya dinasihatkan supaya menarik diri daripada semua acara yang berbaki bagi mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius,” katanya.

Walaupun menerima nasihat tersebut, atlet berusia 22 tahun itu tetap memilih untuk beraksi dalam acara 4x100m campuran selepas kuartet lelaki gagal mara lebih jauh.

Keputusan itu dibuat walaupun dia sedar terdapat risiko kecederaan menjadi lebih serius.

Azeem turut menolak dakwaan bahawa dia sengaja beraksi dalam acara campuran untuk mendapatkan perhatian atau mengelak daripada acara lelaki.

“Saya tidak berlari untuk menjadi wira. Saya berlari kerana menjadi pelari pertama adalah tanggungjawab saya untuk memimpin pasukan dan menunjukkan semangat yang saya bawa apabila mewakili negara. Pasukan perubatan kami bekerja tanpa henti memberikan rawatan dan sokongan supaya saya mampu menahan kesakitan.

“Saya tahu saya cedera, tetapi saya masih mahu bertanding kerana saya tahu betapa banyak usaha yang telah kami curahkan untuk acara berganti-ganti ini. Saya hadir ke temasya ini sebagai antara lima pelari pecut terbaik Asia musim ini selepas mencatat 10.09 saat (s) dan saya berada dalam keadaan yang baik. Saya tahu nilai diri saya, saya tahu tugas saya dan saya tahu kemampuan saya,” katanya.

Azeem turut meluahkan rasa sedih melihat atlet dipersoalkan apabila keputusan tidak memihak kepada mereka, khususnya apabila maklumat tidak tepat tersebar sehingga mencetuskan kebencian.

Menurutnya, prestasi atlet boleh dinilai atas dasar ketelusan dan akauntabiliti, tetapi komitmen mereka terhadap negara tidak sepatutnya dipersoalkan sewenang-wenangnya.

Pemegang rekod 100m negara itu kini mahu menjawab segala keraguan melalui prestasi di trek, terutama pada kejohanan tahun hadapan.

“Saya akan terus menjawab dengan prestasi saya, bukan dengan bunyi-bising. Kepada mereka yang terus menyokong dan mempercayai saya, saya tidak mampu mengucapkan terima kasih secukupnya. Saya akan kembali dengan lebih kuat,” katanya.