Aaron Tai-Yap Roy King mencipta sejarah di bumi Eropah apabila muncul juara beregu lelaki Terbuka Artik 2026 selepas menewaskan pasangan Chinese Taipei, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng, 21-19, 21-19 dalam aksi final di Vantaa Energia Areena, Finland, hari ini.
Kejayaan itu cukup istimewa kerana ia hadir dalam kejohanan sulung mereka sebagai satu gandingan, sekali gus melengkapkan perjalanan sensasi pasangan negara berkenaan dengan cara paling sempurna.
Turun sebagai wakil tunggal Malaysia di pentas final, Aaron-Roy King menunjukkan ketenangan tinggi untuk menamatkan cabaran pasangan ranking ke-27 dunia itu dalam dua set.
Set pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling berbalas mata sebelum gandingan negara berjaya mengekalkan fokus pada penghujung permainan untuk menang 21-19.
Corak hampir sama berlaku dalam set kedua apabila Lai-Tsai terus memberikan tentangan rapat.
Namun, Aaron-Roy King sekali lagi lebih tenang ketika mata-mata penting dan menutup set kedua dengan keputusan sama, 21-19.
Kemenangan tersebut memastikan mereka membawa pulang gelaran Super 500 pertama sebagai satu pasangan.
Apa yang lebih mengagumkan, Aaron-Roy King menamatkan keseluruhan kejohanan tanpa perlu melalui pertarungan tiga set.
Mereka membuka kempen dengan menewaskan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-12, 21-13 sebelum menyingkirkan pilihan ketujuh dari Chinese Taipei, Lee Fang-chih-Lee Fang-jen, 21-19, 21-11.
Di suku akhir, pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, menjadi mangsa seterusnya selepas tewas 21-13, 21-19.
Aaron-Roy King kemudian mengesahkan tiket ke final menerusi kemenangan 21-14, 21-16 ke atas Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer dari Denmark.
Rentetan kemenangan straight set itu memperlihatkan keserasian yang cukup cepat terbina walaupun mereka baru digandingkan.
Daripada sebuah kombinasi baharu yang masih diuji, Aaron-Roy King kini sudah mempunyai satu gelaran Super 500 dalam kejohanan pertama mereka bersama.
Kejayaan di Finland turut memberikan petanda positif kepada sektor beregu lelaki negara.
Aaron dan Roy King bukan sahaja berjaya menewaskan beberapa pasangan antarabangsa sepanjang perjalanan, malah menunjukkan kemampuan mengawal tekanan apabila berdepan perlawanan rapat.
Kini, mereka pulang dari bumi Eropah bukan lagi sebagai gandingan percubaan.
Mereka pulang sebagai juara Terbuka Artik 2026.