Lewis Hamilton mengakui hujan menjadi faktor utama yang menjadikan perlumbaan pecut Formula Satu (F1) Singapura lebih menarik selepas karakter Litar Marina Bay sekali lagi memperlihatkan betapa sukarnya pelumba melakukan aksi memotong.
Pelumba yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua itu berpendapat susun atur litar perlu diubah, terutama dengan menambah laluan lurus yang lebih panjang bagi mewujudkan lebih banyak peluang untuk mencabar kedudukan lawan.
Hamilton berkata Marina Bay sememangnya menarik untuk dipandu ketika sesi kelayakan, namun situasinya berbeza apabila tiba perlumbaan sebenar.
“Saya suka berlumba di sini, tetapi saya baru sahaja memberitahu Max bahawa saya rasa mereka perlu mengubah litar ini, mungkin dengan menyediakan laluan lurus lebih panjang supaya ia benar-benar menjadi litar perlumbaan yang hebat,” katanya.
“Ia litar yang hebat untuk dipandu dalam satu pusingan dan sesi kelayakan, tetapi sebenarnya hanya ada satu tempat yang membolehkan pelumba menghampiri lawan untuk melakukan percubaan memotong.
“Saya fikir perlumbaan tadi menyeronokkan, tetapi jika berlangsung dalam keadaan kering, ia mungkin menjadi perlumbaan paling membosankan untuk ditonton. Hujanlah yang menjadikannya menarik.”
Perlumbaan pecut sulung di Singapura terpaksa ditangguhkan akibat hujan sebelum beberapa insiden menjadikan aksi lebih dramatik.
George Russell mengalami kemalangan pada pusingan pertama apabila terbabas dan merempuh dinding di selekoh terakhir ketika sedang mendahului perlumbaan.
Pertembungan dua jentera McLaren pada pusingan terakhir turut menambah drama ketika kedua-duanya bersaing mendapatkan tempat terakhir di podium.
Sebanyak sembilan jentera gagal menamatkan perlumbaan, manakala enam daripada keseluruhan 20 pusingan berlangsung di belakang kereta keselamatan.
Namun, bagi pemenang perlumbaan, Max Verstappen, insiden semata-mata tidak cukup untuk menjadikan Marina Bay lokasi ideal bagi format pecut.
Pelumba Red Bull itu yang bermula dari petak utama dan akhirnya meraih kemenangan pertamanya di Singapura menyifatkan kesukaran memotong sebagai masalah utama.
“Saya rasa kita tidak sepatutnya mengadakan perlumbaan pecut di litar yang menyukarkan pelumba memotong,” katanya.
“Saya tiada masalah, saya hanya melakukan tugas saya tetapi perlumbaan seperti ini bukanlah sesuatu yang saya gemari.
“Mod memotong hampir tidak memberi kesan di sini. Anda tidak memperoleh banyak kelebihan di laluan lurus. Kita perlukan laluan lurus yang lebih panjang atau selekoh tajam berbentuk ‘hairpin’ lebih sesuai untuk memotong.”
Dominasi pelumba dari petak utama juga jelas dalam sejarah Grand Prix Singapura apabila 11 daripada 16 perlumbaan terdahulu dimenangi pelumba yang memulakan saingan dari kedudukan pertama.
Situasi itu menguatkan hujah bahawa kedudukan ketika kelayakan mempunyai pengaruh besar terhadap keputusan perlumbaan di Marina Bay.
Perlumbaan pecut Singapura merupakan yang keenam dan terakhir untuk musim ini.
Singapura tidak disenaraikan dalam kalendar 10 perlumbaan pecut musim depan, tetapi Monaco masih dikekalkan.
Charles Leclerc yang menamatkan pecut Singapura di tempat ketiga turut tidak yakin format itu sesuai untuk litar jalan raya bandar.
“Saya rasa perlumbaan pecut tidak sesuai diadakan di litar jalan raya bandar secara umum. Sama ada di sini atau Monaco, saya tidak fikir ia menambah apa-apa kepada hujung minggu perlumbaan,” katanya.
Pandangan tiga pelumba itu memberikan mesej hampir sama bahawa perlumbaan pecut memerlukan litar yang menawarkan lebih banyak ruang untuk bertarung, bukan sekadar bergantung kepada cuaca dan kemalangan untuk menghasilkan drama.