SUKAN

Pemain Ranking kedua Dunia terkejut aksi Zii Jia

Pemain nombor dua dunia, Christo Popov, mengakui Lee Zii Jia berada pada tahap luar biasa selepas tewas straight set 11-21, 16-21 kepada pemain Malaysia itu dalam aksi suku akhir perseorangan lelaki Terbuka Artik.

Jaguh Perancis itu mengakui kesukaran untuk mencari rentak sepanjang perlawanan apabila Zii Jia tampil cukup tajam dari hampir semua aspek permainan.

“Dia sangat tajam dalam setiap aspek dan menyukarkan saya untuk mencari rentak permainan.

“Terdapat kira-kira 15 pukulan yang saya sangka akan keluar, tetapi akhirnya masuk ke dalam gelanggang.

“Tahap ketajaman permainannya hari ini sungguh luar biasa.

“Dia bermain seperti pemain kelompok 10 terbaik dunia.

“Saya gembira melihatnya kembali bermain pada tahap yang tinggi,” kata Popov.

Pujian itu hadir selepas Zii Jia mempamerkan antara aksi terbaiknya sepanjang kempen kali ini dengan berjaya mengawal perlawanan dari awal hingga akhir.

Pemain ranking ke-56 dunia itu bukan sahaja bergantung kepada rejaman keras, malah menunjukkan kesabaran lebih baik dalam mengatur permainan sebelum memilih masa sesuai untuk menyerang.

Ketepatan pukulan Zii Jia turut menjadi antara faktor utama yang menyukarkan Popov untuk membina momentum.

Beberapa pukulan yang dijangka keluar oleh pemain Perancis itu sebaliknya jatuh tepat di dalam gelanggang, sekali gus menambah tekanan sepanjang perlawanan.

Set pertama menyaksikan Zii Jia menguasai permainan dengan kemenangan selesa 21-11 sebelum meneruskan tahap permainan sama untuk menutup set kedua 21-16.

Kemenangan tersebut memastikan pemain berusia 28 tahun itu mara ke separuh akhir Terbuka Artik, kejohanan yang pernah menyaksikannya muncul juara pada edisi 2023.

Zii Jia sendiri mengakui gembira selepas berjaya menghasilkan persembahan berkualiti di gelanggang yang mempunyai kenangan istimewa buat dirinya.

“Saya memberikan segala-galanya dalam perlawanan ini.

“Seronok dapat kembali bermain dengan baik di tempat di mana saya pernah muncul juara sebelum ini,” katanya.

Kemaraan itu turut menjadi penampilan separuh akhir kedua Zii Jia sepanjang tahun ini selepas sebelum ini berjaya berada dalam kelompok empat terbaik di Terbuka Kanada.

Selepas melalui tempoh prestasi yang kurang konsisten, keputusan di Finland memberikan satu lagi petanda positif terhadap usaha Zii Jia mencari semula tahap permainan terbaiknya.

Cabaran seterusnya bagaimanapun tetap berat apabila dia dijadual berdepan pemenang pertemuan antara Hu Zhe An dari China dan Anders Antonsen dari Denmark.

Namun, berdasarkan prestasi ketika menundukkan Popov, Zii Jia kini mempunyai momentum yang diperlukan untuk meneruskan cabaran.

Lebih penting, pujian daripada pemain nombor dua dunia sendiri menggambarkan betapa tinggi tahap permainan yang ditampilkan Zii Jia dalam perlawanan suku akhir itu.