Kang Khai Xing mengakui sedikit kecewa selepas gandingannya bersama Aaron Tai dipisahkan, namun pemain muda negara itu memilih untuk menyahut cabaran ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi, dengan meningkatkan tahap permainannya.
Pemain berusia 20 tahun dari Kelantan itu kini memberikan perhatian khusus kepada aspek fizikal dalam usaha memastikan dirinya berada pada tahap lebih baik sekiranya diberi peluang untuk kembali bergandingan dengan Aaron pada masa akan datang.
Menurut Khai Xing, tempoh beberapa minggu kebelakangan ini digunakan untuk memperbaiki kepantasan dan kuasa ketika berada di gelanggang.
“Saya sedikit kecewa selepas dipisahkan dengan Aaron. Bagi tempoh dua atau tiga minggu kebelakangan ini, saya memberi tumpuan kepada keadaan fizikal, khususnya kepantasan dan kuasa di gelanggang. Setakat ini, saya rasa ada peningkatan,” katanya selepas latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Khai Xing dan Aaron sebelum ini mencipta nama apabila muncul juara dunia remaja bersama.
Namun, susunan gandingan mereka kemudiannya berubah apabila Khai Xing dipasangkan dengan Wan Arif Junaidi sebelum kini digandingkan bersama Lok Hong Quan.
Aaron pula mendapat peluang bergandingan bersama Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam beberapa kejohanan Jelajah Dunia.
Walaupun masih mempunyai keinginan untuk kembali bersama pasangan lamanya, Khai Xing menegaskan perkara itu bukan fokus utama buat masa ini.
Sebaliknya, dia mahu terlebih dahulu memastikan tahap permainannya benar-benar bersedia sebelum memikirkan kemungkinan menyambung semula kerjasama dengan Aaron.
“Buat masa ini, saya hanya fokus kepada diri sendiri. Jika saya belum bersedia, tiada gunanya untuk menyambung semula gandingan dengannya,” katanya.
Khai Xing turut melihat kedudukan ranking pasangan mereka sebagai sesuatu yang perlu dipertimbangkan.
Menurutnya, dia dan Aaron sudah berada di ranking ke-18 dunia dan pemisahan secara kekal berpotensi menyebabkan mereka perlu membina semula kedudukan dari peringkat lebih rendah.
“Saya akan terus mencuba. Namun, ranking kami sudah agak tinggi, jadi jika bertukar pasangan, kami perlu bermula semula dari Siri Masa Depan dan itu akan menyukarkan keadaan. Jika berpisah secara kekal, ia satu pembaziran besar,” katanya.
Buat masa ini, Khai Xing akan menguji keserasian bersama Hong Quan pada Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri minggu depan.
Aaron pula akan bergandingan dengan Yap Roy King di Terbuka Artik, Finland, bermula esok.
Bagi Khai Xing, fokus terdekat kekal kepada peningkatan diri dengan harapan peluang untuk kembali bergandingan bersama Aaron mungkin terbuka semula apabila tiba masa yang sesuai.