Tonggak utama Thailand, Chanathip Songkrasin, mengakui tidak sabar untuk berdepan Indonesia dalam perlawanan akhir Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu melihat pertemuan tersebut sebagai cabaran besar buat Thailand, terutama apabila Indonesia kini tampil dengan barisan yang diperkuat ramai pemain warisan dan naturalisasi yang mempunyai pengalaman beraksi di luar negara.
Menurut Chanathip, perkembangan bola sepak di rantau ASEAN menunjukkan perubahan ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peningkatan jumlah pemain warisan yang mewakili pasukan kebangsaan masing-masing.
“Sudah tiga atau empat tahun lalu kami bertemu Indonesia di pentas akhir. Boleh dikatakan setiap negara di ASEAN telah berkembang, dan kini banyak pemain warisan.
“Sekarang Indonesia boleh dikatakan memiliki ramai pemain warisan (naturalisasi) dan mereka beraksi di liga-liga yang tinggi.
“Oleh itu mereka memiliki kekuatan fizikal dan dan teknik yang sangat baik. Jadi, saya gembira akhirnya esok (hari ini) kami akan berdepan mereka.” kongsinya.
Pengalaman bermain di liga luar negara menjadi antara perkara yang mendapat perhatian Chanathip menjelang final.
Beliau melihat barisan Indonesia kini mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan teknik berdasarkan latar belakang pemain mereka yang beraksi dalam liga berprofil tinggi.
Namun, kenyataan tersebut tidak menggambarkan rasa gentar.
Sebaliknya, Chanathip menyambut cabaran berkenaan dengan positif dan menganggap pertemuan dengan Indonesia sebagai aksi yang dinantikan selepas kedua-dua negara pernah bertemu di pentas akhir beberapa tahun lalu.
Final malam ini turut membawa nilai tersendiri kerana ia merupakan edisi pertama Piala ASEAN FIFA 2026.
Indonesia turun dengan kelebihan bermain di laman sendiri di Gelora Bung Karno, manakala Thailand pula mahu membuktikan kemampuan mereka dalam satu lagi perlawanan berintensiti tinggi di peringkat serantau.
Bagi Chanathip, perkembangan Indonesia menjadi contoh bagaimana standard pasukan ASEAN berubah dengan kehadiran pemain yang mempunyai pengalaman di liga luar negara.
Pada masa sama, Thailand juga hadir dengan misi tersendiri dan perlu memastikan tahap permainan serta disiplin berada pada tahap terbaik.
Pertemuan malam ini dijangka menjadi ujian sebenar buat kedua-dua pasukan apabila Thailand dan Indonesia turun dengan sasaran sama, iaitu menjadi juara pertama Piala ASEAN FIFA.
Buat Chanathip, segala persiapan kini sudah menuju ke satu pentas terakhir dan beliau jelas teruja untuk berdepan barisan Indonesia yang disifatkannya mempunyai kekuatan fizikal serta teknik berkualiti.