SUKAN

Komen pengendali Vietnam aksi berdepan Malaysia tarik perhatian

Vietnam tidak melihat pertemuan menentang Malaysia dalam penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 sebagai sekadar aksi pelengkap apabila pengendalinya, Kim Sang-sik, menegaskan skuad kendaliannya akan turun dengan mentaliti seperti beraksi di pentas final.

Kedua-dua pasukan dijadual bertemu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok selepas masing-masing menamatkan saingan kumpulan sebagai naib juara.

Vietnam berada di belakang Thailand dalam Divisyen 1 Kumpulan B, manakala Malaysia menamatkan saingan Divisyen 1 Kumpulan A di kedudukan kedua.

Walaupun tidak lagi berpeluang merebut kejuaraan, Sang-sik mahu pemainnya memberikan tahap persediaan dan komitmen yang sama seperti mereka bakal beraksi dalam perlawanan akhir.

“Mengenai Malaysia, mereka memang melakukan banyak perubahan pada skuadnya. Namun, hal itu tidak berpengaruh bagi kami kerana kami hanya akan fokus pada persiapan kami sendiri untuk perlawanan mendatang.

“Walaupun ini perlawanan keempat kami hanya penentuan tempat ketiga, kami akan menghadapinya seperti beraksi di perlawanan final,” katanya.

Kenyataan itu memberikan gambaran jelas bahawa Vietnam tidak mahu mengambil mudah cabaran Harimau Malaya meskipun perlawanan berkenaan hanya menentukan kedudukan ketiga dan keempat.

Sang-sik turut mempunyai gambaran mengenai kemampuan Malaysia selepas mengikuti perkembangan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe sepanjang saingan Piala ASEAN FIFA 2026.

Namun, beliau tidak mahu perubahan dalam barisan pemain Harimau Malaya menjadi faktor yang mengganggu persiapan pasukannya.

Sebaliknya, fokus utama Vietnam adalah memastikan pemain melaksanakan perancangan sendiri dengan sebaik mungkin apabila turun di GBK.

Pendekatan itu juga menunjukkan Sang-sik mahu anak buahnya kekal kompetitif sehingga perlawanan terakhir kejohanan dan tidak membiarkan kekecewaan gagal mara ke final menjejaskan tahap permainan mereka.

Bagi Malaysia pula, pertemuan itu menjadi satu lagi ujian penting selepas menamatkan Kumpulan A sebagai naib juara.

Harimau Malaya perlu bersedia menghadapi lawan yang dijangka turun dengan intensiti tinggi berdasarkan penegasan Sang-sik bahawa Vietnam akan menganggap aksi tersebut seperti final.

Pertemuan Malaysia dan Vietnam dijadual berlangsung esok di Stadium Gelora Bung Karno dengan sepak mula jam 5 petang waktu Malaysia.

Dengan kedua-dua pasukan mahu menutup kempen secara positif, aksi penentuan tempat ketiga itu dijangka tetap membawa tekanan tersendiri walaupun bukan pentas perebutan kejuaraan.