Tiga perlawanan dalam Piala ASEAN FIFA 2026 sudah membantu Harimau Malaya mengumpul tambahan 8.72 mata dalam ranking FIFA, namun peningkatan itu masih belum cukup untuk mengubah kedudukan skuad negara yang kekal di tangga ke-136 dunia.
Malaysia ketika ini mengumpul 1,095.75 mata keseluruhan selepas mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri sepanjang saingan Kumpulan A.
Harimau Malaya memulakan kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum seri tanpa jaringan menentang Indonesia dan kemudian membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir kumpulan.
Tujuh mata berjaya dikumpul daripada tiga perlawanan berkenaan, sekali gus membolehkan Malaysia menamatkan kempen kumpulan tanpa kalah.
Bagaimanapun, peluang untuk menambah lagi mata ranking masih terbuka apabila skuad negara bakal berdepan Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.
Kemenangan ke atas Vietnam berpotensi memberikan tambahan sekitar 6.33 mata kepada Malaysia.
Jika berjaya mendapatkan jumlah berkenaan, Harimau Malaya berpeluang melonjak sehingga tiga anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-133 dunia.
Situasi itu menjadikan pertemuan menentang Vietnam bukan sekadar menentukan kedudukan akhir Malaysia dalam Piala ASEAN FIFA 2026.
Sebaliknya, keputusan positif turut mempunyai nilai penting dalam usaha memperbaiki kedudukan skuad negara dalam ranking dunia.
Malaysia sebelum ini terlepas peluang ke final walaupun mengumpul jumlah mata serta perbezaan jaringan yang sama dengan Indonesia.
Keadaan itu menyebabkan Harimau Malaya terpaksa berpuas hati di tempat kedua Kumpulan A dan kini perlu mengalihkan perhatian kepada pertemuan menentang Vietnam.
Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pasukan negara perlu mengekalkan momentum positif dan cuba menamatkan kejohanan tanpa mengalami kekalahan.
“Memang perlawanan seperti lawan Vietnam tu perlawanan-perlawanan yang kita menantikanlah. Dan dengan situasi itu, kita banyak kali orang kata terkandas menentang Vietnam.
“kali ini pasukan yang terbaik dengan momentum yang terbaik, kita mampu dapat keputusan yang positif,” kata Cheng Hoe.
Pertemuan berkenaan menjadi satu lagi ujian penting buat Malaysia yang mahu menutup kempen dengan kemenangan selepas dua kemenangan dan satu seri dalam tiga aksi terdahulu.
Pada masa sama, tambahan mata ranking FIFA memberikan satu lagi kepentingan kepada perlawanan tersebut.
Aksi penentuan tempat ketiga dan keempat antara Malaysia dan Vietnam dijadualkan berlangsung di Gelora Bung Karno, esok, bermula jam 5 petang waktu Malaysia.