Keupayaan Arif Aiman Hanapi melepasi kawalan pemain Indonesia yang mempunyai pengalaman beraksi di Eropah menarik perhatian, namun tonggak Harimau Malaya itu memilih untuk tidak memberikan penilaian besar terhadap persembahannya sendiri.
Ketika ditanya mengenai kemampuannya berdepan pemain yang memiliki pengalaman di pentas Eropah, termasuk tonggak Indonesia, Arif sekadar tersenyum sebelum memberikan jawapan ringkas.
“Saya tak nak cakaplah, korang boleh nampak kan. Okey?” katanya.
Respons itu menggambarkan pendekatan Arif yang lebih selesa membiarkan prestasi di atas padang menjadi ukuran terhadap kemampuannya.
Dalam pertemuan menentang Indonesia, kelincahan serta keberaniannya melakukan gerakan satu lawan satu menjadi antara aspek yang mencuri perhatian, khususnya ketika berdepan pemain dengan fizikal lebih besar.
Arif tidak menunjukkan rasa gentar untuk mencabar pertahanan lawan dan terus menggunakan kepantasan serta kawalan bola bagi mencari ruang ketika Malaysia berusaha mencipta peluang.
Namun, pemain Johor Darul Ta’zim itu tidak mahu fokus diberikan secara berlebihan terhadap persembahan individunya.
Sebaliknya, beliau lebih menekankan usaha keseluruhan Harimau Malaya yang berjaya menamatkan tiga perlawanan Kumpulan A tanpa dibolosi.
Malaysia membuka kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Indonesia.
Harimau Malaya kemudian menutup saingan kumpulan dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara menghasilkan sembilan gol sepanjang tiga perlawanan tanpa melepaskan sebarang jaringan.
Arif berharap pencapaian berkenaan dilihat secara positif oleh penyokong walaupun Malaysia tidak berjaya mendapatkan tiket ke final.
“Bagi saya, tak perlu kecewalah sebagai penyokong Tanah Air. Tak perlu kecam kami atau apa, kita orang dah berikan yang terbaik dalam saingan tiga perlawanan ini tanpa bolos.
“Kita lagi baik daripada pasukan-pasukan yang ada negara di sini, dan mungkin pasukan ini akan lebih kuat lagi pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.
Kini, perhatian Harimau Malaya perlu dialihkan kepada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat menentang Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin ini.
Bagi Arif, perlawanan tersebut menjadi peluang untuk skuad negara meneruskan momentum selepas mencatat dua kemenangan dan satu seri dalam tiga aksi terdahulu.
Selepas menghasilkan sembilan gol tanpa bolos, cabaran seterusnya adalah memastikan prestasi positif itu diteruskan ketika berdepan Vietnam bagi menutup kempen Piala ASEAN FIFA 2026 dengan keputusan yang baik.