SUKAN

Komen Subkhiddin isu masa tambahan aksi Indonesia-Bangladesh jadi tumpuan

Tempoh masa tambahan pada penghujung aksi Indonesia menentang Bangladesh sepatutnya sudah melalui proses pengesahan antara pengadil, pegawai keempat dan Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum angka berkenaan dipaparkan kepada umum.

Pandangan itu disuarakan bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd Salleh, susulan kontroversi apabila masa tambahan dalam aksi Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 itu pada awalnya dipaparkan dua minit sebelum berubah kepada tujuh minit.

Menurut Subkhiddin, pengiraan masa tambahan perlu mengambil kira keseluruhan masa yang terbuang sepanjang 45 minit babak kedua, termasuk tempoh permainan terhenti disebabkan jaringan, pertukaran pemain, kecederaan dan semakan VAR.

Justeru, jumlah masa tambahan sepatutnya sudah dikenal pasti dan disahkan sebelum pegawai keempat mengangkat papan elektronik.

“Sebelum pegawai keempat menunjukkan tambahan dua minit itu, dia sepatutnya sudah mendapat pengesahan dari pengadil dan nasihat daripada pegawai VAR berapa masa yang digunakan untuk semakan, kelewatan dan sebagainya.

“Pegawai VAR kemudiannya akan maklumkan kepada pegawai keempat dan kemudian mendapat pengesahan daripada pengadil,” katanya ketika dihubungi.

Kontroversi tercetus apabila dua minit dipaparkan pada penghujung masa permainan sebelum angka berkenaan kemudian berubah kepada tujuh minit.

Dalam tempoh tambahan itu, Indonesia berjaya menghasilkan dua gol pada penghujung permainan untuk melengkapkan kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh.

Subkhiddin menjelaskan, penilaian terhadap tempoh tambahan tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan angka yang tertera pada papan.

Sebaliknya, setiap insiden yang menyebabkan permainan terhenti sepanjang babak kedua perlu dikira secara keseluruhan.

Menurutnya, jaringan yang berlaku sebelum berakhir 90 minit juga boleh menyumbang kepada masa tambahan, terutama apabila sambutan gol menyebabkan permainan mengambil masa sebelum disambung semula.

Bagaimanapun, perubahan daripada dua kepada tujuh minit selepas papan sudah dipaparkan tetap menimbulkan persoalan mengenai komunikasi antara pegawai perlawanan.

“Untuk menyalahkan pegawai keempat juga, saya tidak boleh kerana kalau dia ikut prosedur, dia telah ada pengesahan dengan pengadil.

“Jadi mungkin di sini berlaku salah faham dalam kalangan pegawai perlawanan, pengadil dan juga pegawai keempat ketika masa pengesahan itu,” katanya.

Subkhiddin turut melihat kemungkinan berlakunya kesilapan teknikal sebelum pembetulan dibuat berdasarkan maklumat diterima selepas itu.

“Kemungkinan selepas dia tunjuk dua minit, kemudian baru pengadil sedar ada berlaku kesilapan teknikal. Mungkin VAR sudah maklumkan kepada pengadil bahawa berlaku kesilapan teknikal, sepatutnya tujuh, bukan dua.

“Itu kemungkinan yang boleh berlaku. Mungkin berlaku salah komunikasi, mungkin VAR menyatakan sesuatu, tetapi berlaku salah faham dalam kalangan mereka,” katanya.

Isu tersebut menjadi perhatian kerana dua gol Indonesia pada penghujung aksi membolehkan skuad itu menang 9-2 dan mengatasi Malaysia dari segi jumlah jaringan untuk mara ke final Piala ASEAN FIFA 2026.