Kontinjen Malaysia kini berada di ambang mencipta pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara di Sukan Asia apabila memburu sekurang-kurangnya satu lagi pingat emas sebelum temasya Aichi-Nagoya 2026 melabuhkan tirainya, Ahad ini.
Setakat ini, Malaysia sudah mengumpul sembilan pingat emas, sekali gus menyamai pencapaian terbaik yang pernah direkodkan pada edisi Guangzhou 2010.
Peluang untuk memperbaharui rekod berkenaan kini terletak kepada dua wakil negara yang akan beraksi di pentas final esok, iaitu skuad hoki lelaki dan beregu lelaki padel, Christian Didier Chin-Aidan Yunus.
Skuad hoki lelaki negara dijadual berdepan India di Stadium Gifu, manakala Christian-Aidan akan menunggu pemenang antara pasangan pilihan utama Qatar, Mashari Naif-Rashed Naif, atau pilihan keempat Iran, Hami Golestan-Arya Roghani.
Sekiranya salah satu daripada dua wakil negara itu berjaya meraih emas, Malaysia akan melepasi pencapaian sembilan emas yang menjadi rekod terbaik sejak 2010.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin, berkata pencapaian semasa kontinjen sudah melepasi sasaran awal enam emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Beliau berharap skuad hoki dan gandingan padel negara mampu memanfaatkan peluang yang ada di pentas final untuk menambah satu lagi emas buat Malaysia.
“Padel dan hoki mempunyai peluang yang sama rata dengan negara lain. Mereka sudah membuktikan penyertaan kali ini bukan sia-sia apabila berjaya melangkah ke final.
“Kita harap sokongan dan doa rakyat Malaysia esok dapat membantu mereka mencapai kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan aksi final skuasy berpasukan lelaki dan wanita, hari ini.
Sembilan emas Malaysia setakat ini hadir menerusi karate, e-sukan, berbasikal trek, skuasy dan sepak takraw.
Dalam karate, Adeola Fay Robert meraih emas kumite individu wanita 55 kilogram manakala C Shamalarani muncul juara kumite wanita bawah 50kg.
Atlet e-racing, Taj Izrin Aiman Taj Madira, pula menyumbang emas dalam acara Gran Turismo 7, sementara Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan emas menerusi acara keirin berbasikal trek.
Skuasy menjadi penyumbang terbesar dengan empat emas hasil kejayaan Ng Eain Yow dalam perseorangan lelaki, S Sivasangari dalam perseorangan wanita, selain gelaran berpasukan wanita dan lelaki.
Skuad regu berpasukan lelaki turut menambah emas menerusi sepak takraw.
Jefri turut melihat pencapaian beberapa sukan yang melangkaui sasaran, khususnya padel dan e-sukan, sebagai petunjuk penting dalam perancangan masa depan.
“Padel, khususnya, tidak diletakkan sasaran pingat, tetapi berjaya melangkah ke final. E-sukan juga menyumbang pingat emas kepada negara.
“Sukan-sukan ini adalah antara yang perlu diberi tumpuan untuk masa depan supaya kita mampu memberi saingan pada Sukan Asia 2030,” katanya.
Dengan dua final masih menanti esok, kontinjen Malaysia kini mempunyai peluang nyata untuk bukan sekadar menyamai, tetapi memperbaharui rekod terbaik negara di pentas Sukan Asia.