Harimau Malaya terpaksa melakukan persiapan tanpa dua tonggak utama, Dion Cools dan Faisal Halim, menjelang aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala ASEAN FIFA 2026 menentang Vietnam di Stadium Gelora Bung Karno, Isnin ini.
Ketiadaan dua pemain berpengaruh itu menjadi cabaran terbaru buat ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, ketika skuad negara mahu menutup kempen kejohanan dengan keputusan positif selepas gagal mara ke final.
Faisal terlebih dahulu meninggalkan kem negara selepas perlawanan menentang Singapura di Bandung, Khamis lalu.
Pemain itu pulang ke tanah air bagi mendapatkan rawatan lanjut susulan kecederaan betis dan tendon yang dialaminya ketika berdepan Indonesia pada Isnin lalu.
Cools pula tidak akan bersama pasukan untuk aksi terakhir kejohanan selepas terpaksa meninggalkan kem sejurus tamat perlawanan menentang Singapura bagi menyelesaikan urusan keluarga yang memerlukan perhatian segera.
“Selepas perlawanan menentang Singapura tempoh hari, Dion (Cools) tidak bersama kita untuk perlawanan akan datang disebabkan beliau mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan dengan segera.
“Kita menghormati keputusan Dion dan mengharapkan yang terbaik untuk beliau. Pada masa sama, kita mengharapkan pemain-pemain lain bersedia untuk perlawanan menentang Vietnam,” kata Cheng Hoe ketika ditemui pada sesi latihan pasukan, hari ini.
Ketiadaan Cools dijangka memberikan kesan kepada struktur pertahanan Harimau Malaya memandangkan beliau bukan sahaja menjadi antara tonggak utama di benteng, malah turut memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan.
Namun, Cheng Hoe menerima perkembangan lebih positif apabila mengesahkan penyerang naturalisasi, Bergson Da Silva, bebas daripada penggantungan selepas mengumpul dua kad kuning dan boleh diturunkan menentang Vietnam.
Kehadiran Bergson memberikan satu lagi pilihan kepada barisan serangan selepas pemain itu memainkan peranan penting ketika Malaysia membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Dalam masa sama, Cheng Hoe berkata pemain kini mula bangkit daripada kekecewaan gagal mara ke final selepas Indonesia mengatasi Malaysia menerusi jumlah jaringan untuk muncul juara kumpulan.
“Memang ketika itu keseluruhan pasukan termasuk pemain dan pegawai agak kecewa, tetapi walaupun kita tidak layak ke final, semua anggota pasukan kekal positif dan suasana cukup baik.
“Kita kena kekalkan prestasi dan konsistensi kerana kemenangan pasukan datang daripada semangat berpasukan dan semangat juang yang baik. Itu yang kita mahu dalam usaha melihat Harimau Malaya bangkit semula,” katanya.
Malaysia sebelum ini menewaskan Singapura 6-0 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, tetapi keputusan itu belum cukup untuk membawa skuad negara ke final selepas Indonesia turut mencatat kemenangan besar ke atas Bangladesh.
Pertemuan dengan Vietnam di GBK, Isnin ini, menjadi peluang terakhir Harimau Malaya untuk menutup kempen dengan kemenangan, manakala final Piala ASEAN FIFA 2026 menemukan Thailand dan Indonesia di venue sama.