SUKAN

Singapura di beri ‘surat’ amaran keras selepas aksi berdepan Malaysia

Kekalahan 0-6 kepada Malaysia dalam FIFA ASEAN Cup 2026 mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong Singapura apabila Singa Brigade tampil memberi amaran mengenai tahap prestasi skuad kebangsaan menjelang AFC Asian Cup 2027.

Kumpulan penyokong itu menyuarakan kekecewaan menerusi satu hantaran di Instagram selepas Singapura dibelasah Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kumpulan A di Bandung, Indonesia.

Singa Brigade menyifatkan cara pasukan mereka tewas sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Mereka menegaskan bahawa kekalahan dalam bola sepak adalah perkara biasa, namun masalah utama ialah bagaimana pasukan kehilangan daya saing selepas Malaysia melebarkan kedudukan.

“Kami boleh menerima kekalahan kepada sesiapa sahaja. Kami tidak boleh menerima cara kita tewas seperti malam tadi (bertemu Malaysia). Pada kedudukan 0-2, kami masih melihat sedikit semangat untuk melawan, tetapi selepas bolos gol ketiga, anda menyerah. Kesemua enam gol itu adalah kesilapan amatur. Ia tidak boleh diterima,” tegas Singa Brigade di laman Instagram.

Nada kenyataan itu menjadi lebih serius apabila dikaitkan dengan tempoh persediaan Singapura menuju AFC Asian Cup 2027.

Menurut kumpulan tersebut, Singapura kini mempunyai kurang daripada 100 hari sebelum berdepan cabaran yang lebih besar.

Mereka melihat kekalahan kepada Malaysia sebagai satu petunjuk bahawa pasukan perlu melakukan penilaian dan pembetulan dengan segera.

“Kita kini kurang daripada 100 hari sebelum AFC Asian Cup 2027. Berdasarkan persembahan ini, kita adalah anak biri-biri yang disembelih, bukan singa. Beberapa perlawanan yang baik tidak menjadikan anda pasukan yang bagus.

“Sokongan kami ada dan akan sentiasa ada tanpa syarat. Kami telah bersama pasukan melalui setiap kekalahan dan setiap keraguan, dan kami akan terus hadir memberikan sokongan,” jelas kumpulan itu.

Walaupun kecewa, Singa Brigade tidak menarik sokongan terhadap skuad kebangsaan.

Sebaliknya, mereka menegaskan akan terus berada di belakang pasukan dalam setiap keadaan, termasuk ketika keputusan tidak memihak kepada Singapura.

Pendirian itu menunjukkan bahawa kritikan yang diberikan lebih tertumpu kepada prestasi dan tahap komitmen yang ditampilkan ketika berdepan Malaysia.

Kekalahan enam gol tanpa balas menjadi satu keputusan yang sukar diterima, terutama kerana ia hadir dalam pertemuan menentang seteru tradisi.

Dengan AFC Asian Cup 2027 semakin hampir, Singapura kini perlu memberikan tindak balas selepas satu persembahan yang mencetuskan kritikan kuat daripada penyokong sendiri.