Lebih 11 tahun selepas kali terakhir Malaysia berjaya menewaskan Vietnam, Tan Cheng Hoe kini mempunyai satu lagi peluang untuk menamatkan penantian panjang itu apabila Harimau Malaya bertemu lawan berkenaan dalam perebutan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok.
Kemenangan terakhir skuad negara ke atas Vietnam hadir pada 2014 ketika Malaysia dibimbing Dollah Salleh.
Dalam aksi separuh akhir Piala ASEAN di Stadium My Dinh, Hanoi ketika itu, Harimau Malaya mencipta kejutan dengan menewaskan tuan rumah 4-2.
Keputusan tersebut membolehkan Malaysia mara ke final menerusi kemenangan agregat 5-4.
Namun, sejak kejayaan itu, skuad negara gagal mengulangi keputusan sama apabila berdepan Vietnam.
Harimau Malaya terus melalui tempoh sukar dalam pertemuan berikutnya, termasuk tewas dalam sembilan aksi terakhir selepas keputusan seri 2-2 pada 2018.
Kini, Cheng Hoe yang mengendalikan skuad negara secara sementara mahu menggunakan pertemuan di GBK untuk mengubah rekod tersebut.
Beliau mengakui sudah lama menyimpan cita-cita untuk melihat Malaysia kembali menewaskan Vietnam, namun memahami tugas itu tidak mudah berdasarkan kekuatan yang dimiliki lawan.
“Memang saya juga dah tanamkan cita-cita nak menang dengan Vietnam dan juga ada keinginan untuk dapatkan keputusan yang positif kerana untuk 10 tahun kita tidak menang dengan Vietnam.
“Kita tahu kekuatan mereka bukan sahaja dari bahagian serangan dan mereka juga ada penambahan pemain naturalisasi mereka dari bahagian pertahanan,” katanya.
Bagi Cheng Hoe, persediaan menjelang perlawanan bukan hanya tertumpu kepada aspek taktikal.
Keadaan fizikal dan mental pemain turut menjadi perhatian selepas Harimau Malaya melalui jadual pertandingan yang padat sepanjang kempen Piala ASEAN FIFA 2026.
“Kita perlu persediaan yang terbaik kerana pemulihan dari segi mentaliti, daripada segi badan kita perlu kerana pasukan Vietnam juga datangnya satu pasukan yang cukup bersedia juga,” katanya.
Malaysia memasuki perlawanan itu dengan misi menutup kempen secara positif selepas terlepas peluang mara ke final.
Pertemuan dengan Vietnam turut membawa nilai tersendiri kerana skuad negara mempunyai peluang menamatkan satu rekod panjang yang sudah berlanjutan sejak kemenangan di Hanoi pada 2014.
Aksi penentuan tempat ketiga dan keempat dijadual berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, esok, bermula jam 5 petang waktu Malaysia.
Perlawanan akhir Piala ASEAN FIFA 2026 antara Indonesia dan Thailand turut berlangsung di venue sama.
Bagi Cheng Hoe dan Harimau Malaya, tumpuan kini terarah kepada satu tugas utama, iaitu mendapatkan keputusan positif dan menamatkan penantian panjang untuk kembali menewaskan Vietnam.