SEPANG: “Ia antara kemenangan yang sangat manis.”
Itu reaksi Max Verstappen selepas pelumba Red Bull Racing itu muncul juara Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini, dalam perlumbaan penuh cabaran.
Verstappen menamatkan perlumbaan dengan catatan 1 jam 47 minit 14.808 saat dan menganggap kejayaan itu lebih bermakna selepas mengharungi musim yang mencabar.
Menurut juara dunia empat kali itu, perkembangan positif yang ditunjukkan Red Bull Racing sepanjang tempoh berkenaan turut menjadikan kemenangan di Sepang sesuatu yang cukup istimewa.
“Saya sangat bangga dengan semua orang dan ia sangat manis untuk menang di sini,” katanya ketika ditemuramah selepas perlumbaan.
Kejayaan itu merupakan kemenangan pertama Verstappen musim ini, sekali gus mengulangi pencapaiannya sembilan tahun lalu apabila GP Malaysia kali terakhir dianjurkan di Sepang pada 2017 dan beliau turut muncul juara.
Namun, laluan menuju kemenangan kali ini jauh daripada mudah.
Perlumbaan yang dijadualkan bermula jam 3 petang terpaksa ditangguhkan hampir satu jam setengah susulan hujan lebat yang menyebabkan air bertakung di beberapa bahagian trek.
Atas faktor keselamatan, pihak perlumbaan memilih untuk menangguhkan permulaan sebelum keadaan bertambah dramatik ketika pusingan formasi di belakang kereta keselamatan.
Beberapa jentera dilaporkan mengalami kehilangan kuasa dan gangguan perisian enjin sehingga bendera merah dikibarkan dan semua kereta kembali ke hentian pit.
Verstappen sendiri mengakui situasi pada awal perlumbaan cukup huru-hara kerana jenteranya turut berdepan masalah kuasa.
“Ya, ia sangat huru-hara dengan banyak perkara berbeza berlaku pada permulaan.
“Kami membuat keputusan yang tepat dengan menggunakan tayar intermediate dan selepas itu memperbaiki kedudukan. Dari situ saya mengawal perlumbaan sehingga tamat,” katanya.
Keputusan menggunakan tayar intermediate akhirnya memberikan kelebihan kepada Verstappen sebelum beliau mengambil kawalan perlumbaan dan mengekalkan kedudukan sehingga garisan penamat.
Kimi Antonelli dari Mercedes AMG Petronas menduduki tempat kedua dengan jurang 2.307s selepas bermula dari petak ketiga.
Pelumba itu menganggap keputusan tersebut sebagai pencapaian maksimum yang mampu diperoleh pasukannya.
“Saya sangat gembira dapat podium kedua. Ia pengalaman pertama saya di litar ini dan ia menakjubkan. Peminat juga luar biasa sepanjang minggu ini, jadi terima kasih banyak dan harapnya kami akan kembali ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Lewis Hamilton pula melengkapkan podium buat Ferrari di tempat ketiga, 4.919s di belakang Verstappen selepas bermula dari petak kedua.
Rakan sepasukannya, Charles Leclerc, menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Bagi Verstappen, kemenangan di Sepang bukan sekadar kemenangan pertama musim ini, tetapi satu kejayaan yang hadir selepas melalui perlumbaan sukar dan permulaan penuh kekacauan.