SUKAN

Tidak perlu masa lama untuk menobatkan Arif Aiman sebagai ‘Superstar’

Brad Tapp mengakui Arif Aiman Hanapi antara pemain yang paling cepat mencuri perhatiannya sejak menyertai Harimau Malaya, namun pertahanan warisan negara itu menegaskan skuad kebangsaan mempunyai ramai lagi pemain berkualiti yang layak diberikan pengiktirafan.

Tapp menyifatkan Arif sebagai antara ‘superstar’ dalam pasukan berdasarkan kemampuan serta kualiti yang ditampilkan, tetapi beliau tidak mahu pujian hanya tertumpu kepada pemain Johor Darul Ta’zim itu.

Menurutnya, terdapat pemain lain yang bekerja keras sepanjang Piala ASEAN FIFA 2026 dan memberikan sumbangan besar kepada pasukan meskipun tidak menerima perhatian sebanyak beberapa nama utama.

“Ya, mereka adalah superstar, ramai daripada pemain ini. Ada ramai pemain yang mendapat perhatian seperti Arif dan dia memang berkualiti, tetapi ada juga ramai pemain yang tidak mendapat perhatian yang sepatutnya walaupun mereka sudah memberikan begitu banyak usaha sepanjang minggu lalu.

“Seluruh pasukan terus memberikan komitmen. Saya fikir kami menjaringkan sembilan gol dalam peringkat kumpulan dan tidak dibolosi, jadi ia bukan hanya mengenai serangan, tetapi juga pertahanan.

“Semua pemain secara kolektif sudah melakukan tugas yang hebat setakat ini,” katanya.

Bagi Tapp, rekod sembilan jaringan tanpa bolos dalam peringkat kumpulan menunjukkan kekuatan Harimau Malaya hadir melalui usaha kolektif.

Barisan serangan berjaya menghasilkan jaringan, sementara pertahanan pula memastikan skuad negara tidak dibolosi.

Situasi tersebut memberikan keyakinan kepada pemain yang baru menyertai skuad kebangsaan itu bahawa Malaysia mempunyai asas yang baik untuk berkembang.

Tapp turut mengakui pengalamannya bersama pasukan setakat ini cukup positif selepas menerima layanan baik daripada pemain dan anggota skuad.

“Satu penghormatan untuk berada di sini dan saya amat bersyukur dapat berada di sini. Semua orang sangat menyambut baik.

“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya fikir kami sudah menunjukkannya dalam kejohanan ini. Tetapi saya tahu kami boleh pergi lebih jauh dan mampu melakukan lebih banyak lagi,” katanya.

Beliau turut percaya gabungan pemain muda seperti Arif dengan beberapa muka baharu mampu memberikan dimensi berbeza kepada Harimau Malaya.

“Kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik. Kami mempunyai ramai pemain muda seperti Arif Aiman, ramai pemain seperti saya yang baru sahaja menyertai pasukan.

“Jadi kami adalah pasukan yang segar, tetapi tidak kira kejohanan atau perlawanan apa pun, kami sentiasa akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Tapp melihat kesegaran skuad sebagai sesuatu yang positif selagi pemain terus mengekalkan tahap komitmen dan kesediaan untuk bekerja sebagai satu pasukan.

Selepas ini, Harimau Malaya dijadual meneruskan persiapan dengan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China bulan depan.

Aksi tersebut bakal memberikan satu lagi ujian kepada skuad negara untuk membuktikan sama ada momentum dan kualiti yang dipamerkan sepanjang Piala ASEAN FIFA 2026 mampu diteruskan.