SUKAN

TERKINI : Tonggak JDT digantung

Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu mengharungi dua perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/27 tanpa khidmat Eddy Israfilov selepas tonggak pertahanan itu dikenakan penggantungan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC, Israfilov digantung dua perlawanan susulan kad merah yang diterimanya ketika JDT menentang Buriram United pada 15 September lalu.

Pemain berusia 34 tahun itu diarahkan keluar padang selepas melakukan kekasaran terhadap pemain lawan.

Hukuman dua perlawanan tersebut termasuk satu penggantungan automatik yang dikenakan susulan kad merah.

Kesannya, Israfilov terpaksa terlepas aksi JDT menentang Pohang Steelers dari Korea Selatan pada Selasa ini.

Dia turut tidak boleh diturunkan ketika Harimau Selatan berdepan Port FC dari Thailand pada 27 Oktober.

Kehilangan pemain berpengalaman itu untuk dua perlawanan berturut-turut memberikan satu lagi cabaran kepada barisan kejurulatihan JDT dalam usaha memastikan benteng pasukan kekal kukuh sepanjang kempen ACLE.

Selain tidak dapat beraksi, Israfilov turut diarahkan membayar denda AS$2,000 atau kira-kira RM8,171.

Bayaran tersebut perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC dimaklumkan.

Hukuman terhadap Israfilov hadir bersama satu lagi tindakan AFC melibatkan bola sepak Malaysia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenakan denda AS$1,750 atau kira-kira RM7,149 selepas skuad B-20 negara lewat kembali ke padang bagi memulakan separuh masa kedua ketika bertemu Laos dalam Kelayakan Piala Asia B-20 2027.

Kelewatan yang direkodkan ialah satu minit 24 saat.

“Denda hendaklah dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Disiplin dan Etika AFC,” menurut keputusan Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC.

Bagi JDT, hukuman Israfilov membawa implikasi secara langsung kepada perancangan pasukan.

Harimau Selatan perlu mengharungi dua aksi ACLE tanpa seorang daripada pilihan di bahagian pertahanan, termasuk ketika bertemu Pohang Steelers yang menjadi tugasan terdekat.

Selepas itu, Israfilov sekali lagi hanya mampu menyaksikan rakan sepasukan berdepan Port FC pada 27 Oktober.

Hanya selepas menyelesaikan tempoh penggantungan berkenaan, pertahanan tersebut boleh kembali dipertimbangkan untuk meneruskan cabaran JDT dalam kejohanan elit Asia.