SUKAN

Zii Jia kembali jadi buah mulut

Bekas pemain badminton negara, Ong Ewe Hock melihat perkembangan positif dalam permainan Lee Zii Jia selepas kemaraan ke separuh akhir Terbuka Artik, namun menegaskan konsistensi menjadi perkara paling penting jika pemain profesional negara itu mahu kembali ke tahap terbaiknya.

Menurut Ewe Hock, prestasi Zii Jia sepanjang kejohanan di Finland menunjukkan pemain ranking ke-56 dunia itu sudah mula mendapatkan semula rentak dan keyakinan selepas melalui tempoh panjang dengan keputusan yang tidak menentu.

Perubahan tersebut dapat dilihat menerusi kualiti pukulan, kawalan permainan serta kemampuan Zii Jia untuk bersaing dalam perlawanan berintensiti tinggi.

“Dia sudah bermain dengan baik. Itu satu permulaan yang baik dan perkembangan positif buat dirinya,” katanya ketika dihubungi.

Zii Jia tampil antara pemain yang mencuri perhatian sepanjang Terbuka Artik apabila berjaya mara sehingga kelompok empat terbaik.

Antara keputusan paling menonjol hadir di suku akhir apabila dia menyingkirkan pemain nombor dua dunia dari Perancis, Christo Popov, secara straight set.

Kemenangan tersebut memberikan satu petunjuk bahawa Zii Jia masih mempunyai kemampuan untuk menewaskan pemain kelompok terbaik dunia apabila berada dalam keadaan dan rentak permainan yang baik.

Bagaimanapun, Ewe Hock menegaskan satu kejohanan sahaja belum cukup untuk menentukan bahawa Zii Jia sudah kembali sepenuhnya.

Menurutnya, seorang pemain yang mahu memburu gelaran perlu mampu mengekalkan prestasi terbaik dalam beberapa perlawanan berturut-turut.

“Apabila anda mahu menjadi juara, anda perlu mendapatkan semula prestasi terbaik, lebih-lebih lagi selepas sekian lama tidak berada dalam keadaan terbaik.

“Sekarang dia nampak sudah mendapat semula rentak dan sentuhan permainannya. Jika dapat mengekalkannya, saya percaya dia boleh kembali ke prestasi terbaik,” katanya.

Pandangan itu cukup relevan berdasarkan perjalanan Zii Jia sepanjang beberapa bulan sebelum Terbuka Artik apabila prestasinya sering turun naik.

Di Finland, situasinya kelihatan berbeza.

Zii Jia bukan sahaja bermain lebih yakin, malah menunjukkan kesabaran dan ketepatan pukulan yang lebih baik ketika berdepan lawan berkualiti.

Kemaraannya akhirnya terhenti di separuh akhir selepas memberikan tentangan tiga set kepada Anders Antonsen dari Denmark.

Namun, keseluruhan kempen tetap memberikan sesuatu yang positif untuk dibawa ke kejohanan seterusnya.

Bagi Ewe Hock, asas kepada kebangkitan itu sudah mula kelihatan.

Kini, cabaran sebenar buat Zii Jia adalah memastikan prestasi tersebut tidak hanya muncul dalam satu atau dua perlawanan, sebaliknya dapat dikekalkan secara konsisten.

Sekiranya itu mampu dilakukan, peluang untuk melihat semula Zii Jia bersaing di tahap tertinggi dan memburu gelaran besar kembali terbuka.