SUKAN

TERKINI : Bos Chatri ‘bengang’, anggap Rifdean tidak professional

TOKYO: Kekalahan kepada Yoshinari Nadaka bukan satu-satunya tamparan buat Rifdean Masdor apabila Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, tampil dengan teguran keras terhadap tahap profesionalisme petarung Malaysia itu selepas ONE Samurai 4.

Chatri juga secara terbuka menolak hasrat Rifdean untuk mendapatkan rematch segera dengan Nadaka selepas pencabar negara itu gagal membawa pulang gelaran dunia ONE Atomweight Muay Thai.

Apa yang paling membangkitkan rasa tidak puas hati bos ONE berkenaan bukan semata-mata kekalahan Rifdean di dalam gelanggang, tetapi apa yang berlaku sepanjang minggu pertarungan di Tokyo.

Rifdean gagal mencapai berat dalam tempoh rasmi timbang berat ONE Championship. Selepas tempoh itu berakhir, dia berjaya melepasi ujian hidrasi tetapi beratnya direkodkan pada 118.6 paun, sekali gus menyebabkan dia tidak lagi layak memenangi tali pinggang Nadaka.

Pertarungan tetap diteruskan sebelum Nadaka menamatkan cabaran Rifdean menerusi tendangan kiri ke kepala pada 58 saat pusingan kedua.

Namun, berdasarkan transkripsi kenyataan Chatri daripada rakaman yang dikongsikan, isu paling besar baginya ialah cara Rifdean membuat persediaan untuk peluang sebesar itu.

Chatri dilaporkan terkejut apabila mengetahui Rifdean hadir ke Tokyo tanpa jurulatih, pasukan sokongan atau cornerman yang sepatutnya membantu mengurus persiapannya.

Tegurannya cukup keras.

“Rifdean bertarung dengan sangat berani di dalam Circle, dan kita tahu dia berjaya mematahkan hidung Nadaka di pusingan pertama. Tetapi di peringkat tertinggi sukan ini, keberanian sahaja tidak mencukupi. Apa yang berlaku di belakang tabir sepanjang minggu ini adalah sesuatu yang sangat tidak profesional.

“Dia gagal dalam ujian hidrasi dan berat badan. Bukan itu sahaja, dia datang ke Tokyo secara solo—tanpa jurulatih, tanpa pasukan, dan tanpa cornerman untuk menjaga kebajikannya. Bagaimana seorang petarung elite boleh bersiap untuk perebutan tali pinggang dunia dengan cara sebegini? Pasukan anda adalah orang yang bertanggungjawab memastikan diet, berat, hidrasi, dan strategi anda berada pada tahap optimum.”

Chatri kemudian dilaporkan lebih tegas apabila menyentuh permintaan Rifdean untuk mendapatkan peluang kedua menentang Nadaka.

“Apabila dia tewas secara KO dan kemudiannya menuntut perlawanan semula (rematch) dengan alasan berat badannya tidak ideal, jawapan saya adalah tidak. Pintu rematch ditutup buat masa ini.

“Sukan ini menuntut tahap profesionalisme yang tinggi. Anda tidak boleh mengabaikan asas pengurusan atlet, kalah secara KO, dan kemudian mengharapkan jalan pintas untuk kembali merebut kejuaraan dunia.

“Rifdean perlu pulang, membina semula reputasinya, dan membuktikan dia benar-benar profesional jika mahu berada di pentas utama ini lagi.”

Kenyataan itu memperlihatkan betapa kecewanya Chatri terhadap apa yang berlaku kerana Rifdean sebenarnya diberikan peluang sangat besar selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut dan memperoleh kontrak utama ONE menerusi kemenangan KO ke atas Javad Mozafari.

Malah sebelum pertarungan, Rifdean begitu yakin mahu mencipta sejarah dan menjadi individu yang menamatkan rekod hebat Nadaka.

Namun, di Tokyo, cabarannya sudah terganggu sebelum pertarungan bermula.

Masalah timbang berat, persoalan mengenai ketiadaan pasukan sokongan dan kemudian kekalahan TKO akhirnya membawa kepada teguran terbuka daripada orang nombor satu ONE Championship.

Jika kenyataan Chatri dijadikan ukuran, Rifdean kini tidak boleh mengharapkan laluan terus untuk kembali mencabar Nadaka.

Dia perlu membuktikan semula dirinya.

Bukan sahaja melalui kemenangan di dalam gelanggang, tetapi juga melalui tahap persediaan dan profesionalisme yang dituntut daripada seorang atlet yang mahu bertarung untuk gelaran dunia.