Satu perlawanan bola sepak remaja di Brazil mencetuskan perhatian dunia apabila pergaduhan besar-besaran antara dua pasukan menyaksikan 51 kad merah direkodkan, sekali gus mengatasi rekod penggantungan pemain terbanyak dalam satu perlawanan.
Insiden luar biasa itu berlaku ketika pertemuan antara Uberlândia dan Mamoré dalam aksi separuh akhir Divisyen Dua Kejohanan Bawah 20 Tahun Minas Gerais di Stadium Parque do Sabiá, Brazil.
Menurut laporan media tempatan, jumlah individu yang diusir daripada perlawanan berkenaan kemudian meningkat kepada 53 orang selepas dua pegawai kelab turut diambil kira.
Daripada jumlah tersebut, 43 merupakan pemain, lapan anggota barisan kejurulatihan dan dua lagi pegawai kelab.
Kekecohan tercetus pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas Mamoré menjaringkan gol ketiga untuk mendahului 3-1.
Ketika meraikan jaringan berkenaan, seorang pemain Mamoré dilaporkan melakukan tindakan provokasi ke arah bangku simpanan Uberlândia, sekali gus mencetuskan ketegangan antara kedua-dua pasukan.
Keadaan semakin tidak terkawal apabila seorang anggota kejurulatihan Uberlândia memasuki padang dan menolak pemain lawan sebelum pergaduhan merebak kepada pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.
Laporan pengadil, Fernando Patrick Drosghic Modesto menyatakan beberapa individu terlibat dalam perbuatan menyerang lawan menggunakan tumbukan dan sepakan.
Malah, enam pengutip bola turut dilaporkan mengambil bahagian dalam kekecohan itu dengan menyerang pemain serta melontarkan objek ke arah anggota pasukan Mamoré.
Beberapa peralatan termasuk kerusi dan pengusung turut digunakan ketika pergaduhan, menyebabkan keadaan di sekitar kawasan bangku simpanan bertambah tegang.
Situasi berkenaan memaksa campur tangan petugas keselamatan, manakala pengadil menghadapi kesukaran untuk meneruskan prosedur disiplin seperti biasa.
Sebahagian besar hukuman kad merah akhirnya direkodkan dalam laporan rasmi perlawanan kerana keadaan tidak mengizinkan pengadil menunjukkan kad kepada semua individu yang terlibat.
Selain kekecohan di padang, pihak berkuasa turut menerima laporan mengenai kerosakan harta benda di kawasan stadium serta dakwaan ugutan terhadap pegawai perlawanan.
Kejadian tersebut menarik perhatian kerana mengatasi rekod terdahulu sebanyak 36 pemain dibuang padang dalam pertemuan antara Atlético Claypole dan Victoriano Arenas di Argentina pada 27 Februari 2011.
Rekod berkenaan sebelum ini disenaraikan Guinness World Records sebagai jumlah pemain paling ramai diarah keluar dalam satu perlawanan bola sepak.
Bagaimanapun, pengiktirafan rasmi terhadap jumlah baharu dari Brazil masih belum dikemas kini dalam rekod Guinness.
Dalam perkembangan susulan, Uberlândia mengambil keputusan menarik diri daripada aksi separuh akhir kedua atas alasan semangat kesukanan selepas Mamoré dilaporkan hanya mempunyai tujuh pemain yang tersedia akibat penggantungan.
Keputusan tersebut diterima Persekutuan Bola Sepak Minas Gerais (FMF), sekali gus membolehkan Mamoré melangkah ke final kejohanan berkenaan.
Walaupun keputusan perlawanan memihak kepada Mamoré dengan kemenangan 3-1, insiden pergaduhan dan jumlah hukuman disiplin yang luar biasa itu menjadi tumpuan utama.
Kes berkenaan masih tertakluk kepada penelitian pihak berkuasa sukan tempatan, dengan tindakan disiplin lanjut terhadap individu serta pasukan terlibat boleh diputuskan melalui proses perundangan sukan.