SUKAN

Aaron-Wooi Yik Kini Berdepan Satu Lagi Masalah Besar

Kebimbangan mengenai tahap kecergasan Soh Wooi Yik akhirnya terjawab apabila jurulatih beregu lelaki negara, Chang Kim Wai, mengesahkan kecederaan tumit kanan pemain itu kembali mengganggu penampilannya bersama Aaron Chia pada Kumamoto Masters Jepun 2026, semalam.

Masalah tersebut menyebabkan Aaron-Wooi Yik terpaksa menarik diri ketika menghadapi pasangan India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun, pada pusingan pertama kejohanan berstatus Super 500 itu.

Gandingan pilihan ketiga kejohanan tersebut hanya sempat beraksi selama enam minit sebelum menghentikan perlawanan ketika ketinggalan 6-11 pada set pertama di Gimnasium Wilayah Kumamoto.

Kim Wai yang mengiringi pasangan negara di Jepun menjelaskan bahawa kecederaan tersebut merupakan masalah sama yang dialami Wooi Yik ketika menyertai Terbuka Perancis bulan lalu.

“Saya lihat Aaron okey sahaja, cuma Wooi Yik itu sejak di Terbuka Perancis lagi sudah kena (kecederaan),” katanya ketika dihubungi.

Pengesahan itu sekali gus menjelaskan punca penarikan diri mengejut pasangan ranking keempat dunia berkenaan, yang sebelum ini mendapat kebenaran untuk kembali beraksi selepas menjalani rawatan dan pemulihan.

Wooi Yik mula mengalami masalah tumit kanan ketika kempen Terbuka Perancis sehingga beliau dan Aaron terpaksa menghentikan perlawanan suku akhir menentang Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Susulan itu, kedua-duanya tidak menyertai Terbuka Hylo di Jerman dan Terbuka Korea bagi memberikan lebih banyak masa kepada Wooi Yik menjalani rehabilitasi.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, sebelum ini menjelaskan bahawa keadaan pemain itu semakin baik selepas mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan.

Bagaimanapun, Herry turut mengakui bahawa Wooi Yik belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya walaupun sudah kembali menjalani latihan.

Keputusan menurunkan Aaron-Wooi Yik pada Kumamoto Masters pada awalnya dilihat sebagai perkembangan positif dalam usaha pasangan itu mendapatkan semula rentak pertandingan.

Namun, penampilan yang berakhir selepas hanya enam minit kembali meletakkan keadaan fizikal Wooi Yik sebagai perhatian utama barisan kejurulatihan.

Dalam perkembangan berkaitan, penyertaan Aaron-Wooi Yik pada Terbuka Hong Kong minggu depan kini belum dapat dipastikan.

Kim Wai menjelaskan bahawa pihaknya perlu menilai keadaan kecergasan Wooi Yik terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada pasangan negara itu mampu meneruskan cabaran.

“Kita perlu melihat keadaannya terlebih dahulu,” katanya.

Ketidakpastian tersebut hadir ketika Aaron-Wooi Yik masih berusaha mengesahkan tempat ke Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadual berlangsung di Hangzhou, China, dari 9 hingga 13 Disember.

Berdasarkan ranking kelayakan yang dikeluarkan pada 3 November, pasangan negara berada di tangga keenam dengan 65,740 mata.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum selamat apabila beberapa pasangan dari Denmark, Indonesia dan China turut bersaing untuk merebut tempat dalam kelompok lapan terbaik.

Terbuka Hong Kong yang berlangsung dari 17 hingga 22 November dijadual menjadi peluang terakhir mereka untuk menambah kutipan mata kelayakan musim ini.

Namun, selepas kecederaan sama kembali berulang di Jepun, sebarang keputusan mengenai penyertaan perlu mengambil kira tahap pemulihan Wooi Yik.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi bahawa Aaron-Wooi Yik akan menarik diri daripada Terbuka Hong Kong atau menamatkan musim lebih awal.