SUKAN

Munoz akui terdapat Kesilapan

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menyifatkan ketahanan mental dan sikap positif pemain sebagai antara faktor penting di sebalik kebangkitan Harimau Selatan ketika menentang Cong An Hanoi FC dalam Kejuaraan Kelab-Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, malam tadi.

JDT berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menewaskan kelab Vietnam itu 3-1 di Stadium Hang Day, meskipun berdepan tekanan hebat sepanjang tempoh awal permainan.

Menurut Xisco, perlawanan menentang pasukan kendalian Mano Polking itu bukan mudah kerana pemain perlu menyesuaikan diri dengan beberapa fasa permainan yang berbeza.

Beliau berkata, tumpuan dan disiplin taktikal menjadi aspek penting sepanjang perlawanan, terutama apabila pasukannya berdepan kesukaran mengimbangi corak permainan tuan rumah.

Pengendali dari Sepanyol itu mengakui JDT tidak memulakan aksi dengan baik apabila pemain lawan berulang kali memberikan tekanan terhadap benteng pertahanan Harimau Selatan.

Keadaan tersebut akhirnya menyebabkan JDT melakukan kesilapan sehingga membolehkan tuan rumah memperoleh jaringan awal.

Bagaimanapun, Xisco berpuas hati kerana pemainnya tidak kehilangan keyakinan walaupun berdepan situasi sukar dalam tempoh 20 minit pertama.

“Selepas tempoh 20 minit permainan, barisan pemain kami mula meningkatkan intensiti permainan dengan melakukan transisi umpanan dan kami mula mencipta serangan berbahaya,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan tersebut membantu JDT memperkemaskan organisasi permainan, khususnya ketika membina gerakan serangan di kawasan pertahanan lawan.

Xisco turut menjelaskan bahawa beliau sudah mengingatkan pemain mengenai cabaran beraksi di gelanggang lawan sebelum perlawanan berlangsung.

Katanya, pendekatan yang diambil bukanlah untuk menyerang secara keterlaluan tanpa mengimbangi keadaan permainan, sebaliknya memastikan pemain bertindak mengikut keperluan taktikal.

Beliau menganggap usaha dan kesungguhan yang dipamerkan semua pemain sepanjang perlawanan akhirnya membuahkan hasil apabila JDT berjaya mencatat kemenangan.

Pada masa sama, bekas pengendali Watford dan Sheffield Wednesday itu tidak menafikan terdapat kelemahan dalam perancangan awal pasukan.

Xisco mengakui kesilapan ketika menentukan kesebelasan utama menyebabkan beliau terpaksa melakukan perubahan segera selepas mengenal pasti masalah pada tiga posisi.

Tindakan tersebut menyaksikan Shahab Zahedi, Dani Bolt dan Nene dikeluarkan pada minit ke-27 sebelum Jairo da Silva, Oscar Arribas serta Ager Aketxe dimasukkan.

Pertukaran berkenaan memberikan kesan positif apabila JDT mula memperlihatkan peningkatan dari segi penguasaan bola dan keupayaan mencipta gerakan menyerang.

Xisco menegaskan, perubahan prestasi pasukan sebenarnya bermula selepas pertukaran tersebut dan bukan semata-mata disebabkan pendekatan ketika separuh masa kedua.

Beliau turut menekankan bahawa pemain JDT perlu terus mencabar kemampuan diri bagi memastikan tahap persembahan sentiasa meningkat.

Menurutnya, setiap pemain perlu memahami ciri dan tuntutan yang diperlukan untuk mewakili kelab, termasuk kesiapsiagaan fizikal, mental serta kemampuan membaca situasi perlawanan.

Xisco berkata, barisan kejurulatihan juga mempunyai tanggungjawab membantu pemain meningkatkan prestasi serta mengelakkan kesilapan sama berulang.

Justeru, beliau menganggap kemenangan ke atas juara Liga 1 Vietnam musim 2025/2026 itu sebagai hasil usaha kolektif seluruh pasukan yang berjaya mengatasi kesukaran awal dengan pendekatan lebih berdisiplin.