SUKAN

Munoz beri amaran kepada Buriram JDT

Dominasi 7-0 yang diraih Johor Darul Ta’zim ke atas Kuala Lumpur City FC memberikan gambaran jelas tahap kesiapsiagaan pasukan menjelang pertemuan getir menentang Buriram United dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN.

Bagi ketua jurulatih, Xisco Munoz, kemenangan tersebut lebih daripada sekadar angka besar di papan skor. Ia mencerminkan kestabilan prestasi, keberkesanan pelaksanaan strategi serta peningkatan keyakinan dalam kalangan pemain menjelang aksi yang dianggap sangat kritikal.

Munoz menegaskan bahawa suasana dalam kem ketika ini berada pada tahap yang positif, sekali gus membolehkan pemain mengekalkan fokus penuh terhadap perlawanan yang bakal menentukan kelebihan awal dalam peringkat separuh akhir. Beliau melihat aspek mental sebagai elemen utama yang perlu dikekalkan.

Menurutnya, pengalaman lalu berdepan Buriram menjadi rujukan penting dalam menilai cabaran sebenar yang bakal dihadapi. Rekod hanya satu kemenangan daripada tiga pertemuan sebelum ini menjadi indikator jelas bahawa perlawanan kali ini menuntut tahap disiplin dan kecekapan taktikal yang lebih tinggi.

“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kami berdepan Buriram tiga kali dan cuma menang sekali. Jadi pemain perlu faham betapa pentingnya perlawanan ini. Pertembungan ini diibaratkan seperti aksi final, dan kita tidak boleh buat silap,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim. Sokongan penyokong, menurutnya, mampu meningkatkan intensiti permainan serta membantu pemain mengekalkan momentum sepanjang perlawanan.

“Justeru, kami perlu manfaatkan di laman sendiri dengan meraih kemenangan, kami perlukan atmosfera yang hebat daripada penyokong,” katanya lagi.

Mengulas kekalahan terdahulu dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Munoz menjelaskan bahawa pasukan ketika itu belum mencapai kestabilan sepenuhnya. Perubahan struktur pasukan serta kehadiran ramai pemain baharu memerlukan masa untuk membentuk keserasian.

Beliau menyatakan bahawa tempoh sembilan bulan yang dilalui bersama skuad kini telah menghasilkan peningkatan ketara dari segi kefahaman taktikal, organisasi permainan serta kejelasan peranan setiap pemain di atas padang.

“Sekarang situasinya jauh berbeza, kami sudah bekerja bersama selama sembilan bulan dan setiap individu sudah faham apa yang perlu dilakukan. Kami sudah bersedia untuk mempamerkan tahap kapasiti yang sepatutnya dalam perlawanan berprestij seperti ini,” ujarnya.

Dengan peningkatan dari sudut taktikal dan mental, JDT kini dilihat memiliki asas kukuh untuk menghadapi tekanan perlawanan separuh akhir. Namun, keupayaan mengekalkan konsistensi serta mengawal tempo permainan dijangka menjadi faktor penentu dalam usaha meraih keputusan positif di laman sendiri.