SUKAN

TERKINI : Tahniah buat Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

KUALA LUMPUR – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, mengukuhkan status mereka sebagai antara atlet paling menyerlah negara apabila dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025 yang berlangsung hari ini.

Pengiktirafan tersebut hadir susulan pencapaian cemerlang pasangan itu yang mencipta sejarah dengan menjuarai Kejohanan Dunia di Paris tahun lalu, satu kejayaan besar yang turut membawa makna simbolik kepada negara apabila hadir bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Dalam aksi final yang berlangsung di Adidas Arena, Tang Jie dan Ee Wei mempamerkan prestasi yang cukup meyakinkan apabila menewaskan wakil China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin, dengan keputusan straight set 21-15, 21-14. Kemenangan tersebut bukan sahaja memperlihatkan keupayaan teknikal tinggi pasangan negara, malah mencerminkan kematangan taktikal dalam menghadapi tekanan di pentas terbesar dunia.

Ee Wei ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah itu menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan tidak melupakan peranan penting media serta penyokong dalam perjalanan karier mereka.

“Kita bersyukur boleh dapat anugerah Atlet Terbaik bagi tahun 2025 dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama media yang selalu jumpa di ABM atau kejohanan.

“Anda semua bekerja keras dan terima kasih kepada penyokong Malaysia,” katanya.

Anugerah tersebut menyaksikan pasangan ranking nombor empat dunia itu mengatasi empat lagi calon hebat yang turut mempamerkan prestasi konsisten sepanjang tahun lalu. Antara pencabar utama termasuk ratu wushu negara Tan Cheong Min, atlet boling padang Emma Firyana Saroji, jaguh tenpin boling Muhd Rafiq Ismail serta pesilat negara Mohd Abdul Latif Maxzakir.

Pemilihan Tang Jie dan Ee Wei sebagai pemenang jelas mencerminkan penilaian terhadap pencapaian bertaraf dunia yang mereka raih, di samping konsistensi prestasi dalam menghadapi persaingan sengit di peringkat antarabangsa. Keupayaan mereka mengekalkan fokus serta menampilkan strategi permainan yang tersusun dalam perlawanan berprofil tinggi menjadi faktor utama yang membezakan mereka daripada pencabar lain.

Dalam perkembangan sama, kategori Atlet Para Terbaik pula menyaksikan dominasi berterusan oleh jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, yang sekali lagi mempertahankan gelaran tersebut untuk tahun kedua berturut-turut.

Bonnie yang berasal dari Sarawak dipilih berdasarkan pencapaian luar biasa apabila berjaya muncul juara dunia buat kali keempat berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara atlet para terbaik negara di pentas global.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap penganjur atas pengiktirafan yang diberikan, sambil menyifatkan anugerah tersebut sebagai motivasi tambahan untuk terus mencapai kejayaan pada masa hadapan.

“Pertama-tamanya saya nak mengucapkan terima kasih kepada SAM (Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia) kerana menganugerahkan saya dengan anugerah yang sangat bermakna untuk saya lebih bersemangat lagi pada masa akan datang,” katanya.

Dalam kategori tersebut, Bonnie mengatasi beberapa nama besar lain termasuk pemain badminton para Cheah Liek Hou, pelompat jauh para Abdul Latif Romly, perenang para Abdul Halim Mohammad dan Carmen Lim.

Kedua-dua pemenang bagi kategori utama dan para itu masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 serta trofi, yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Pengiktirafan ini sekali lagi membuktikan bahawa prestasi konsisten di peringkat antarabangsa serta kejayaan dalam kejohanan utama menjadi kayu ukur penting dalam menentukan penerima anugerah berprestij tersebut.