Selangor FC berdepan peluang terbesar mereka dalam tempoh lebih sedekad apabila turun menentang Buriram United pada aksi final pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Walaupun kejohanan itu tidak berada di bawah payung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), nilai kejuaraan tetap tinggi apabila status selaku “Raja Bolasepak ASEAN” menjadi rebutan dua pasukan terbaik rantau ini musim ini.
Juara bertahan dari Thailand, Buriram United hadir dengan reputasi besar dan kelebihan dari sudut ranking apabila berada di tangga ke-35 Asia berdasarkan ranking Opta, jauh mengatasi Selangor FC yang menghuni kedudukan ke-111.
Perbezaan 76 anak tangga itu sekali lagi mengukuhkan status Buriram sebagai pilihan utama untuk membawa pulang trofi, namun situasi itu juga membuka ruang buat Selangor membuktikan kemampuan sebenar mereka di pentas serantau.
Skuad kendalian Kim Pan Gon memasuki final dalam keadaan tertekan selepas terlepas peluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan juga ACC musim depan.
Kegagalan itu memberi kesan besar kepada perancangan pasukan kerana Selangor dilihat memiliki kapasiti dan reputasi untuk bersaing secara konsisten di peringkat tertinggi Asia Tenggara.
Dengan deretan pemain berkualiti dan pengalaman luas dimiliki Pan Gon, Selangor tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pertandingan domestik semata-mata.
Atas sebab itu, final ACC kali ini dianggap sangat penting buat The Red Giants kerana ia bukan sekadar memburu trofi pertama musim ini, malah menjadi peluang untuk membuka laluan kembali ke pertandingan antarabangsa pada musim depan.
Sekiranya berjaya muncul juara, Selangor akan memperoleh tiket sebagai juara bertahan untuk terus bersaing di pentas serantau.
Situasi itu menjadikan dua aksi final menentang Buriram sebagai perlawanan paling signifikan buat kelab berkenaan dalam beberapa musim terakhir.
Selain mahu menebus kekecewaan gagal layak ke ACL2, Selangor juga berpeluang menamatkan kemarau trofi utama selama 11 tahun sejak kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015.
Meskipun pernah memenangi Piala Cabaran pada musim 2024/25, pencapaian itu tetap dilihat berbeza kerana pertandingan tersebut membabitkan pasukan yang tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.
Beraksi di Stadium MBPJ memberikan kelebihan tertentu buat Selangor dan peluang itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebelum aksi timbal balik di Arena Chang pada 27 Mei nanti.
Keupayaan mendapatkan kelebihan awal di laman sendiri dijangka menjadi faktor utama yang boleh menentukan hala tuju kejuaraan.
Selangor sebelum ini mempamerkan perjalanan cukup konsisten sepanjang kempen ACC untuk mara ke final.
Pada peringkat kumpulan, mereka membuka saingan dengan keputusan seri 1-1 menentang Buriram sebelum menewaskan Tampines 4-2.
Mereka turut mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Cebu sebelum mengatasi Cong An Hanoi 2-0 dan sekali lagi seri 1-1 menentang Pathum United.
Prestasi stabil itu diteruskan pada separuh akhir apabila Selangor menewaskan Nam Dinh 2-1 di Stadium MBPJ sebelum melengkapkan kemenangan bergaya 2-0 di tempat lawan.
Kemenangan agregat 4-1 itu membuktikan kemampuan Selangor mengimbangi tekanan dalam aksi dua perlawanan selain memperlihatkan disiplin taktikal yang semakin kemas di bawah Pan Gon.
Dalam masa sama, Buriram turut hadir dengan laluan yang meyakinkan.
Mereka seri 1-1 dengan Selangor pada peringkat kumpulan sebelum mencatat keputusan 2-2 ketika bertemu Pathum United.
Buriram bagaimanapun tewas 1-2 kepada Cong An Hanoi sebelum bangkit membelasah Tampines 4-1 dan menundukkan Cebu 6-0.
Keupayaan mereka bangkit selepas kekalahan jelas memperlihatkan kekuatan mental dan pengalaman pasukan itu di peringkat antarabangsa.
Pada separuh akhir, Buriram mencipta kemenangan besar 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat lawan sebelum tewas 1-2 di laman sendiri.
Namun kemenangan agregat 4-3 sudah memadai untuk membawa mereka ke final.
Rekod tersebut memperlihatkan Buriram memiliki kapasiti serangan yang berbahaya selain pengalaman luas dalam mengendalikan tekanan aksi besar.
Justeru, Selangor perlu memastikan mereka tidak memberi terlalu banyak ruang kepada lawan terutama dalam situasi transisi permainan dan serangan balas pantas.
Aksi malam ini bukan sekadar pertarungan merebut trofi, sebaliknya menjadi ukuran sebenar kemampuan Selangor untuk kembali berdiri sebagai kuasa utama bola sepak rantau ini.
Dengan sokongan penyokong sendiri dan motivasi tinggi untuk mengubah hala tuju musim mereka, Selangor mempunyai alasan kukuh untuk tampil dengan aksi terbaik dalam usaha membawa bekalan selesa ke Thailand minggu depan.