Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva semakin hampir merealisasikan impian baharunya di pentas antarabangsa selepas menerima kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili Malaysia sebagai pemain naturalisasi.
Bergson menyifatkan keputusan itu sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan karier profesionalnya, selain membuka peluang untuknya menyarung jersi Harimau Malaya dalam tugasan antarabangsa akan datang. Pemain kelahiran Brazil itu kini bersedia menyertai kem latihan skuad kebangsaan yang dijadual bermula pada 21 September ini bagi menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026.
Menurut Bergson, peluang mewakili Malaysia bukan sesuatu yang pernah dibayangkannya ketika mula tiba di negara ini sekitar lima hingga enam tahun lalu. Ketika itu, fokus utamanya hanyalah untuk memberikan prestasi terbaik bersama JDT dan memenuhi tanggungjawabnya di peringkat kelab.
“Bila pertama kali datang ke sini, saya tidak pernah terfikir untuk dinaturalisasikan. Sasaran saya hanya satu iaitu memberikan yang terbaik buat JDT.
“Saya sangat gembira dengan prestasi dan sokongan padu yang diberikan oleh ‘boss’ (Tunku Mahkota Ismail) sepanjang perjalanan ini. Saya mahu membalas semula segala sokongan Malaysia dan Boss menerusi kerja keras di atas padang,” katanya.
Pengesahan kelayakan Bergson dan Tapp turut memberikan lebih banyak pilihan kepada jurulatih interim Tan Cheng Hoe dalam menyusun persiapan pasukan menjelang edisi sulung Piala ASEAN FIFA di Jakarta yang bermula hujung bulan ini.
Bergson pula menegaskan tahap kesediaannya untuk menyertai skuad kebangsaan sentiasa berada pada tahap terbaik sekiranya khidmatnya diperlukan. Dalam konteks persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia dan kalendar FIFA, dia mahu memastikan dirinya kekal bersedia dari sudut fizikal, mental dan fokus permainan.
Bagi seorang penyerang, sasaran menjaringkan gol kekal menjadi sebahagian daripada tanggungjawab utama, dan Bergson tidak menyembunyikan keinginannya untuk mencipta impak seawal penampilan pertamanya bersama Harimau Malaya.
“Setiap hari saya tidur dan bangun dengan berfikir mengenai gol. Jika dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 21 September ini, saya sentiasa sedia.
“Namun ia bukan bergantung kepada saya seorang kerana membabitkanisu birokrasi tetapi keinginan saya memang ada,” jelasnya.
Dengan kelulusan FIFA sudah diperoleh, perhatian kini terarah kepada proses seterusnya sebelum Bergson dapat menyertai sepenuhnya persiapan Harimau Malaya. Keinginannya jelas, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada keperluan pasukan dan proses berkaitan yang perlu diselesaikan.