SUKAN

Luahan Aaron-Wooi Yik selepas digandingkan semula

Sepuluh tahun bergandingan, dua pingat gangsa Olimpik dan pelbagai pengalaman di pentas tertinggi dunia masih belum cukup buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pasangan nombor satu negara itu kembali bersama secara tetap dengan satu matlamat yang jelas — terus mengejar impian memenangi pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Selepas melalui tempoh perpisahan sementara akibat eksperimen pertukaran pasangan dalam skuad beregu lelaki negara, Aaron-Soh kini memilih untuk meneruskan perjuangan bersama sehingga LA28.

Wooi Yik mengakui masih ada sasaran besar yang belum berjaya mereka sempurnakan.

“Kami masing-masing mempunyai impian yang belum dicapai dan masih ada sesuatu untuk diperjuangkan.

“Fokus saya sudah tentu LA28 dan kami berharap dapat mempamerkan permainan lebih matang,” katanya kepada BWF.

Impian tersebut mempunyai nilai besar buat pasangan yang sudah dua kali membawa pulang pingat gangsa Olimpik.

Aaron-Soh meraih gangsa di Tokyo 2020 sebelum mengulangi pencapaian sama pada Paris 2024.

Kini, Los Angeles menjadi peluang seterusnya untuk mereka cuba melangkah lebih tinggi.

Perjalanan pasangan itu sempat melalui perubahan apabila ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, melaksanakan eksperimen gandingan sejak Jun lalu.

Aaron dipasangkan bersama Aaron Tai dan kombinasi tersebut berjaya mara ke final Terbuka Taiwan.

Wooi Yik pula diuji bersama Man Wei Chong dan mereka muncul naib juara Masters Korea.

Eksperimen berkenaan memberikan kedua-dua pemain pengalaman berbeza, tetapi apabila kembali digandingkan pada Kejohanan Dunia di New Delhi pada Ogos, Aaron-Soh terus menunjukkan bahawa keserasian lama mereka masih kukuh.

Mereka mara sehingga final sebelum menamatkan kejohanan sebagai naib juara dunia.

Pencapaian itu menjadi titik penting dalam keputusan mereka untuk kembali bersama secara tetap.

Aaron-Soh kemudian mengemukakan permintaan supaya gandingan tersebut diteruskan.

Selepas perbincangan antara Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, dan barisan kejurulatihan negara, permintaan itu akhirnya mendapat persetujuan.

Kini, mereka kembali di Jelajah Dunia sebagai satu pasangan.

Terbuka Denmark menjadi pertandingan pertama selepas keputusan tersebut dan Aaron-Soh membuka kempen dengan kemenangan meyakinkan ke atas Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Mereka menewaskan juara bertahan dari Jepun itu 21-19, 14-21, 21-11 dalam tempoh 51 minit untuk mara ke pusingan 16.

Bagi Aaron, fasa selepas ini lebih penting kerana mereka mahu menggunakan baki musim untuk membina asas sebelum memasuki tahun persiapan yang lebih besar.

“Saya fikir kami berada di landasan yang betul. Tahun ini tinggal dua hingga tiga bulan lagi dan kami akan melakukan yang terbaik dalam persiapan seterusnya sepanjang 2027,” katanya.

Aaron-Soh kini menunggu pemenang perlawanan antara Kang Min Hyuk-Lee Jong Min dari Korea Selatan dengan juara Terbuka Artik, Aaron Tai-Yap Roy King, bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Namun, sasaran mereka jauh lebih besar daripada satu kejohanan.

Selepas sedekad bersama, pasangan itu mahu menggunakan tempoh menuju LA28 untuk menghasilkan permainan lebih matang dan memburu satu-satunya warna pingat Olimpik yang belum pernah mereka miliki — emas.