Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia memohon perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LZJ Management Sdn Bhd diadakan selepas usaha terdahulu untuk melaksanakan mesyuarat berkenaan tidak berjaya.
Peguamnya, Ahmad Zayd Ahmad Zuber dari Tetuan Faisal & Zayd, menjelaskan permohonan yang difailkan pada 2 Julai 2026 itu bukan berasaskan sebarang tuduhan salah laku terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, langkah berkenaan bertujuan mendapatkan bantuan mahkamah supaya EGM syarikat dapat berlangsung mengikut terma yang dipohon.
“Apa yang kita minta pada asasnya adalah permohonan untuk mengadakan EGM syarikat berkenaan sahaja.
“Tiada sebarang tuduhan antara pihak terbabit. Kita hanya memohon bantuan mahkamah untuk mengadakan EGM mengikut terma yang diminta,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Ahmad Zayd tidak memperincikan alasan utama mengapa Zii Jia mahu EGM tersebut diadakan.
Menurut afidavit sokongan yang dikemukakan, Zii Jia sebelum ini cuba mengadakan EGM pada 22 Disember tahun lalu.
Namun, mesyuarat berkenaan tidak dapat diteruskan selepas bapanya, Lee Chee Hin, kakaknya, Lee Zii Yii dan adiknya, Lee Tao tidak hadir walaupun notis mesyuarat sudah diberikan.
Ketidakhadiran mereka menyebabkan kuorum yang diperlukan di bawah Akta Syarikat 2016 tidak dapat dipenuhi.
Afidavit itu turut menyatakan Zii Jia sudah cuba menghubungi ahli keluarganya secara peribadi sebelum mendapatkan bantuan melalui saluran lain termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menurut dokumen sokongan berkenaan, LZJ Management kini didakwa berdepan kebuntuan dari sudut pengurusan dan pentadbiran sehingga mesyuarat sukar dilaksanakan melalui prosedur biasa.
Susulan itu, Zii Jia memohon supaya mahkamah memberikan kuasa kepadanya untuk memanggil EGM, mengeluarkan notis mesyuarat serta melantik pengerusi bebas bagi mengendalikan proses tersebut.
Beliau turut memohon supaya sebarang resolusi yang diluluskan melalui undian berdasarkan pegangan saham dapat dilaksanakan secara sah.
Antara perkara yang boleh dibincangkan termasuk penyingkiran pengarah sedia ada, pelantikan pengarah baharu serta pelantikan setiausaha syarikat baharu.
Dalam prosiding berkenaan, Chee Hin, Zii Yii, Tao dan LZJ Management dinamakan sebagai responden.
Zii Jia turut memohon injunksi interim bagi menghalang Chee Hin dan Zii Yii daripada membuat keputusan tertentu berkaitan kewangan dan pengurusan syarikat sementara pertikaian masih berjalan.
Antaranya termasuk pembayaran fi pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan lain kepada diri sendiri selain gaji bulanan masing-masing.
Permohonan itu turut merangkumi sekatan terhadap pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset material, penerbitan saham baharu dan perubahan struktur pemilikan saham tanpa kebenaran mahkamah.
Menurut permohonan tersebut, Zii Jia mendakwa mempunyai 90 peratus kepentingan dalam LZJ Management, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Tao satu peratus.
Pendengaran permohonan itu dijadualkan berlangsung pada 25 November ini.
Buat masa ini, perkara berkenaan masih berada dalam proses kehakiman dan semua permohonan serta dakwaan dalam afidavit belum diputuskan secara muktamad oleh mahkamah.