Malaysia mencipta sejarah baharu dalam arena sukan dunia apabila Ng Eain Yow dan S Sivasangari menjadi pemain skuasy pertama yang secara rasmi melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas menjuarai acara perseorangan masing-masing pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Kejayaan itu hadir ketika skuasy akhirnya bakal membuat penampilan sulung sebagai sukan yang menawarkan pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selepas penantian selama berdekad-dekad.
Eain Yow dan Sivasangari memastikan Malaysia menjadi negara pertama menghantar pemain skuasy ke pentas terbesar sukan dunia itu selepas kedua-duanya meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita di Nagoya Kinjo Futo Arena.
Pencapaian bersejarah tersebut turut mendapat perhatian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) apabila saluran media sosial rasminya, @olympics, menerbitkan hantaran khas mengenai kejayaan dua pemain negara berkenaan.
“Malaysia mencipta sejarah! Eain Yow dan Sivasangari mengesahkan tempat Olimpik untuk Malaysia di #LA28 selepas masing-masing menjuarai perseorangan lelaki dan wanita di #AsianGames.
“Mereka menjadi pemain skuasy pertama dalam sejarah yang meraih tempat ke Olimpik!” umum laman rasmi @olympics kepada jutaan pengikutnya.
Pencapaian itu membawa makna besar buat skuasy selepas generasi terdahulu tidak pernah mempunyai peluang beraksi di pentas Olimpik.
Legenda negara yang juga juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David, serta dua ikon Pakistan, Jahangir Khan dan Jansher Khan, antara nama besar yang mengakhiri karier tanpa berpeluang bertanding dalam temasya Olimpik.
Situasi itu berubah menjelang Los Angeles 2028 apabila Eain Yow dan Sivasangari muncul sebagai dua pemain pertama yang secara rasmi berada dalam senarai layak.
Kedua-duanya mendapatkan tiket Olimpik menerusi pencapaian meyakinkan di Aichi-Nagoya.
Sivasangari mempertahankan kejuaraan perseorangan wanita selepas menewaskan bintang meningkat naik India berusia 18 tahun, Anahat Singh, 11-4, 11-4, 11-7.
Sebelum itu, Eain Yow turut mempertahankan gelaran perseorangan lelaki dengan menundukkan pemain nombor 26 dunia dari India, Abhay Singh, 11-9, 11-5, 11-5.
Lebih mengagumkan, Eain Yow menamatkan keseluruhan kejohanan tanpa kehilangan satu pun permainan.
Kejayaan berganda itu bukan sahaja memastikan dua pingat emas buat Malaysia di Aichi-Nagoya, malah membawa dimensi lebih besar apabila kedua-dua pemain mencatat nama sebagai perintis dalam sejarah Olimpik skuasy.
Dengan kelayakan tersebut, Malaysia kini berada di hadapan dalam satu lembaran baharu sukan berkenaan menjelang Los Angeles 2028.
Daripada kejayaan mempertahankan gelaran Sukan Asia kepada status pemain skuasy pertama layak ke Olimpik, Eain Yow dan Sivasangari kini membawa nama Malaysia ke satu pentas yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pemain skuasy sebelum ini.