Pearly Tan-M Thinaah kini mengalihkan fokus kepada misi mara ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas memastikan beregu wanita negara kembali menaiki podium temasya itu buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.
Beregu nombor lima dunia itu mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa selepas menempah tempat ke separuh akhir menerusi kemenangan 21-18, 21-9 ke atas pasangan India, Gayatri Gopichand-Treesa Jolly dalam aksi suku akhir di Ichinomiya City Municipal Gymnasium.
Pearly-Thinaah memerlukan 42 minit untuk menamatkan cabaran lawan dan kejayaan itu sekali gus menyamai pencapaian Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang meraih gangsa pada edisi Incheon 2014.
Selepas memastikan tempat di podium, tumpuan pasangan negara kini terarah kepada cabaran lebih besar apabila dijadualkan berdepan pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada separuh akhir.
Rekod pertemuan jelas memihak kepada pasangan China itu apabila Pearly-Thinaah hanya mencatat tiga kemenangan daripada 13 pertemuan. Antara kekalahan mereka ialah pada final Kejohanan Dunia tahun lalu, ketika pasangan negara menamatkan saingan sebagai naib juara.
Pearly mengakui kedudukan mereka sebagai pasangan ‘underdog’ menjelang pertemuan itu, namun percaya pengalaman yang diperoleh sepanjang kejohanan mampu menjadi bekalan penting untuk menghadapi lawan pilihan utama.
“Sudah tentu semua orang mahu sampai ke final tetapi separuh akhir esok bukan perlawanan mudah. Kami adalah underdog seperti biasa.
“Kami mahu fokus satu demi satu perlawanan dan membawa perasaan daripada perlawanan pertama ke setiap aksi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Thinaah pula menyifatkan pencapaian kembali meletakkan beregu wanita negara di podium Sukan Asia sebagai satu suntikan semangat, terutama selepas mengetahui kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara itu adalah menerusi Vivian-Khe Wei di Incheon 2014.
“Memang ia satu pembakar semangat tetapi kami tidak fikir terlalu banyak mengenai perkara itu kerana beberapa minggu ini kami hanya fokus kepada diri sendiri dan pasangan.
“Kami hanya mahu buat yang terbaik dan tidak mahu menyesali apa yang dilakukan di atas gelanggang,” katanya.
Di sebalik prestasi di gelanggang, hubungan akrab Pearly-Thinaah turut menjadi antara elemen penting yang membantu mereka menghadapi tempoh sukar, termasuk ketika berdepan kecederaan dan prestasi tidak konsisten.
Menurut Thinaah, persefahaman yang dibina di dalam dan luar gelanggang membolehkan mereka menangani masalah secara terbuka serta memahami keadaan masing-masing.
“Kami adalah kawan baik di dalam dan luar gelanggang. Jika ada sesuatu yang tidak betul, kami akan berbincang dan cuba memahami satu sama lain.
“Hubungan ini banyak membantu kami di gelanggang,” katanya.
Pearly turut menghargai kesabaran Thinaah yang terus memberikan sokongan sepanjang dirinya bergelut dengan masalah kecederaan berulang.
“Saya perlu berterima kasih kepadanya kerana saya sering mengalami kecederaan. Ada masa saya tidak dapat berlatih bersama dan meninggalkannya berlatih seorang diri.
“Tetapi dia tidak pernah berputus asa terhadap saya dan sentiasa menunggu saya kembali,” katanya.
Dengan tiket separuh akhir sudah berada dalam genggaman, Pearly-Thinaah kini berdepan ujian terbesar dalam kempen mereka apabila cuba mengatasi pasangan nombor satu dunia itu dan meneruskan langkah ke final.