Petarung Muay Thai negara, Rifdean Masdor, tampil menjelaskan situasi sebenar di sebalik ketiadaan pasukan gimnasium yang mengiringinya ke Jepun selepas tahap profesionalismenya dipersoalkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Sityodtong.
Atlet kelahiran Sarawak itu menjelaskan bahawa dia sebenarnya menjalani latihan intensif di sebuah gimnasium di Thailand sebagai persiapan menghadapi juara dunia, Nadaka Yoshinari, pada ONE SAMURAI 4 di Tokyo.
Bagaimanapun, perancangan asal tidak berjalan seperti diharapkan apabila pasukan gimnasium berkenaan tidak dapat mengiringinya ke Jepun akibat beberapa masalah teknikal.
Rifdean menegaskan masalah itu tidak mempunyai kaitan dengan kewangan.
“Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah teknikal yang tiada kaitan dengan kewangan, pasukan gimnasium itu tidak dapat mengiringi saya ke Jepun, jadi saya membawa beberapa rakan untuk membantu sepanjang kejohanan.
“Memandangkan mereka kurang pengalaman mengendalikan pertarungan profesional di pentas ONE Championship, saya memilih untuk tidak menghuraikan keadaan sebenar ketika sidang media,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.
Penjelasan tersebut dibuat selepas Rifdean menerima kritikan keras daripada Chatri yang mendakwa persiapannya menjelang perebutan gelaran dunia Muay Thai ONE kategori atomweight tidak berada pada tahap yang sepatutnya.
Chatri sebelum ini menyatakan beliau dimaklumkan Rifdean datang tanpa cornerman, rakan sepasukan atau jurulatih yang memantau persiapannya sepanjang minggu pertarungan.
“Saya dimaklumkan persiapan Rifdean langsung tidak profesional kerana dia datang tanpa cornerman, rakan sepasukan atau sesiapa yang memantaunya sepanjang minggu pertarungan, malah tanpa jurulatih, dan saya sangat terkejut mendengarnya.
“Petarung seperti Jonathan Haggerty dan Nadaka sentiasa membuat persiapan lengkap serta tidak pernah gagal memenuhi keperluan berkenaan. Itulah standard profesionalisme yang kami mahukan,” kata Chatri.
Rifdean turut memohon maaf sekiranya situasi yang berlaku memberikan gambaran bahawa dia tidak membuat persiapan dengan serius.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya memberikan komitmen dan usaha 100 peratus untuk membuat persiapan menghadapi seorang juara dunia. Saya berjanji perkara seperti ini tidak akan berulang dalam pertarungan saya pada masa hadapan,” katanya.
Situasi Rifdean menjadi perhatian selepas dia gagal melepasi ujian hidrasi sebelum pertarungan dengan Nadaka.
Kegagalan berkenaan menyebabkan dia terlepas peluang memenangi gelaran dunia walaupun aksi tetap diteruskan.
Rifdean kemudian tewas kepada Nadaka sebelum meminta peluang untuk mengadakan pertarungan ulangan.
Permintaan itu bagaimanapun menerima respons tegas daripada Chatri.
“Rifdean meminta peluang merebut gelaran sejurus selepas pertarungan itu, walaupun baru sahaja tewas menerusi TKO, dan dia mahu pertarungan ulangan serta peluang merebut gelaran. Peluangnya sifar, dia perlu bersikap profesional,” katanya.
Penjelasan terbaru Rifdean kini memberikan gambaran lebih lengkap bahawa dia bukan tiba di Jepun tanpa membuat persediaan.
Sebaliknya, pasukan asal yang membantunya berlatih di Thailand gagal bersama ke Tokyo akibat masalah teknikal, menyebabkan Rifdean terpaksa bergantung kepada beberapa rakannya sepanjang kejohanan.
Apa yang jelas, petarung negara itu menerima teguran Chatri dan berjanji perkara sama tidak akan berulang dalam penampilan berikutnya.