SUKAN

Debaran Zi Yu-Genevie sebelum cipta sejarah jadi beregu wanita pertama Malaysia juara dunia

KAHERAH: Di sebalik kegembiraan Low Zi Yu-Genevie Lim mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama Malaysia bergelar juara dunia remaja, tersimpan debaran cukup besar ketika mereka bertarung dalam set penentuan di Stadium Antarabangsa Kaherah, Mesir.

Lebih-lebih lagi buat Zi Yu.

Pemain berusia 16 tahun itu sudah dua kali mengetahui betapa peritnya berada begitu hampir dengan gelaran dunia sebelum akhirnya terpaksa menerima pingat perak.

Justeru, apabila perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 menentang pasangan Jepun, Nijika Kamata-Shizuku Kashio, terpaksa ditentukan menerusi set ketiga, pengalaman dua tahun terdahulu kembali bermain dalam fikirannya.

“Saya sangat gembira memenangi gelaran kali ini. Saya sangat gementar, saya fikir saya akan meraih pingat perak ketiga,” kata Zi Yu selepas perlawanan.

Namun, kali ini pengakhirannya berbeza.

Zi Yu bersama Genevie, 18, berjaya mengawal tekanan untuk menewaskan pasangan Jepun itu 15-7, 9-15, 15-12 dalam pertarungan selama 45 minit.

Pasangan pilihan kedua negara bermula dengan cukup meyakinkan apabila mendominasi set pertama 15-7.

Namun Kamata-Kashio bangkit pada set kedua.

Pasangan Jepun menang 15-9 dan memaksa perlawanan ditentukan menerusi set terakhir — situasi yang pasti memberikan tekanan tambahan kepada Zi Yu selepas dua kekecewaan final sebelumnya.

Pada 2024, Zi Yu mara ke final bersama Dania Sofea Zaidi tetapi menamatkan kejohanan sebagai naib juara.

Setahun kemudian, dia sekali lagi berada di pentas akhir, kali ini bersama Noraqilah Maisarah Ramdan, namun satu lagi pingat perak menjadi miliknya.

Kaherah menjadi percubaan ketiganya.

Dan kali ini Zi Yu-Genevie tidak membiarkan peluang terlepas.

Mereka mengekalkan ketenangan ketika kedudukan semakin genting dalam set penentuan sebelum menutup permainan 15-12 untuk meraih pingat emas yang sudah lama diburu Zi Yu.

Kejayaan tersebut turut mencipta sejarah baharu badminton Malaysia apabila Zi Yu-Genevie menjadi pasangan negara pertama memenangi gelaran beregu wanita Kejohanan Dunia Remaja sejak pertandingan itu diperkenalkan pada 1992.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara berkenaan ialah pingat perak, termasuk menerusi Pearly Tan-Toh Ee Wei pada edisi 2018 di Markham.

Apa yang menjadikan perjalanan Zi Yu lebih istimewa ialah dia berjaya mara ke final acara sama selama tiga tahun berturut-turut bersama tiga pasangan berbeza.

Dania pada 2024.

Noraqilah pada 2025.

Genevie pada 2026.

Dua percubaan pertama berakhir dengan kekecewaan.

Tetapi pada percubaan ketiga, Zi Yu akhirnya berjaya berdiri di podium tertinggi.

“Saya sangat bangga dapat memenangi pingat emas ini untuk negara,” katanya.

Daripada ketakutan membawa pulang perak ketiga kepada mencipta sejarah sebagai juara dunia pertama Malaysia dalam beregu wanita remaja, malam di Kaherah akhirnya menjadi milik Zi Yu dan Genevie.