KETUA Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong, memberikan respons cukup keras terhadap Rifdean Masdor apabila mempersoalkan tahap profesionalisme petarung negara itu selepas apa yang berlaku sepanjang ONE Samurai 4 di Tokyo, Jepun.
Chatri berkata beliau cukup terkejut selepas dimaklumkan Rifdean hadir sepanjang minggu pertarungan tanpa jurulatih, rakan sepasukan atau cornerman yang sepatutnya membantu persiapan seorang pencabar gelaran dunia.
Menurutnya, situasi itu langsung tidak menggambarkan tahap persediaan yang sepatutnya ditunjukkan seorang atlet profesional, lebih-lebih lagi apabila Rifdean diberikan peluang besar mencabar Yoshinari Nadaka bagi gelaran dunia Muay Thai atomweight ONE Championship.
“Dalam kes Rifdean, saya juga mendapat tahu bahawa persiapannya langsung tidak profesional. Dia datang tanpa cornerman, tanpa rakan sepasukan dan tanpa sesiapa pun untuk memantaunya sepanjang minggu pertarungan. Tiada jurulatih, langsung tiada sesiapa.
“Saya sangat terkejut apabila mendengar perkara itu,” katanya ketika menjawab soalan wartawan mengenai kemungkinan prosedur ONE diperketat susulan isu hidrasi yang berulang.
Chatri turut membandingkan persediaan Rifdean dengan petarung bertaraf juara dunia seperti Jonathan Haggerty dan Nadaka yang menurutnya sentiasa memastikan segala keperluan dipenuhi sebelum pertarungan.
Bagi Chatri, tahap tertinggi sukan tempur bukan hanya menuntut kemampuan ketika berada di dalam gelanggang.
Aspek persediaan, pengurusan berat badan, pasukan sokongan dan pematuhan terhadap semua syarat pertandingan turut menjadi sebahagian daripada profesionalisme seorang petarung.
Rifdean sebelum itu gagal memenuhi had berat badan dalam tempoh yang ditetapkan sehingga menyebabkan dia tidak lagi layak merampas gelaran dunia daripada Nadaka, walaupun pertarungan tetap diteruskan.
Cabaran petarung negara kemudian berakhir menerusi TKO pada minit pertama pusingan kedua selepas Nadaka melepaskan tendangan kiri yang mengenai bahagian leher dan kepala.
Namun, apa yang lebih mengejutkan Chatri ialah Rifdean dilaporkan terus meminta peluang untuk merebut gelaran sekali lagi selepas kekalahan tersebut.
Respons bos ONE itu cukup tegas.
“Peluangnya langsung tiada! Zero! Anda perlu bersikap profesional,” katanya.
Kenyataan berkenaan memberi gambaran bahawa Rifdean tidak boleh mengharapkan laluan segera untuk kembali mendapatkan peluang kejuaraan dunia.
Bagi Chatri, peluang sebesar itu perlu disertai dengan tahap tanggungjawab dan persediaan yang setanding.
Rifdean sebelum ini diberikan pentas besar untuk mencabar Nadaka, namun masalah yang berlaku sebelum pertarungan akhirnya menjadi perhatian serius pihak pengurusan ONE.
Kini, selain perlu bangkit daripada kekalahan kepada Nadaka, Rifdean juga berdepan tugas untuk meyakinkan semula organisasi berkenaan mengenai tahap profesionalismenya.
Mesej Chatri nyata tidak berselindung — sebelum bercakap mengenai satu lagi peluang merebut tali pinggang, Rifdean terlebih dahulu perlu membuktikan bahawa kesilapan yang berlaku di Tokyo tidak akan berulang.