SUKAN

TERKINI : Rasmi! Aliff Rakib bakal ‘hadap’ Prajanchai

Jaguh Muay Thai negara, Aliff Rakib, bakal berdepan cabaran terbesar dalam kariernya apabila sah bertemu juara dunia ONE Strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai, dalam pertarungan penyatuan gelaran di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada 18 Disember 2026.

Pertembungan itu bakal menemukan dua pemegang gelaran dalam divisyen sama apabila Aliff turun selaku Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, manakala Prajanchai merupakan pemegang gelaran utama.

Pemenang pertarungan berkenaan akan dinobatkan sebagai Juara Dunia ONE Strawweight Muay Thai yang mutlak, sekali gus menamatkan persoalan mengenai siapa raja sebenar divisyen tersebut.

Pertarungan ini sememangnya dinantikan sejak sekian lama.

Aliff sepatutnya mendapat peluang menyatukan gelaran lebih awal, namun rancangan itu tertangguh selepas Prajanchai mengalami kecederaan jari yang memerlukan pembedahan.

Kecederaan berkenaan dialami petarung Thailand itu ketika menentang Jonathan Di Bella pada Oktober 2025.

Situasi tersebut menyebabkan pertemuan dengan Aliff tidak dapat direalisasikan seperti dirancang.

Kini selepas tempoh menunggu, kedua-dua juara akhirnya bersedia berkongsi gelanggang di antara venue paling ikonik dalam sukan tempur Thailand.

Bagi Aliff, pertarungan ini menawarkan peluang untuk melengkapkan satu lagi sejarah besar buat Malaysia.

Dia sebelum ini muncul sebagai petarung negara pertama memenangi gelaran Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai selepas menumpaskan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, menerusi kemenangan knockout pada Julai lalu.

Kemenangan itu mengangkat Aliff ke kedudukan tertinggi dalam kariernya dan membuka laluan kepada pertemuan dengan Prajanchai.

Lebih meyakinkan, Aliff ketika ini berada dalam prestasi terbaik dengan enam kemenangan berturut-turut.

Rentetan tersebut memberikan keyakinan tinggi menjelang perlawanan terbesar setakat ini, namun cabaran yang menanti juga jauh lebih sukar.

Prajanchai mempunyai pengalaman luas di pentas tertinggi dan statusnya sebagai juara dunia menjadikan pertemuan itu ujian sebenar buat Aliff.

Namun, Aliff bukan lagi sekadar pencabar.

Dia hadir sebagai juara interim dengan momentum kemenangan yang kukuh serta satu matlamat jelas — menyatukan kedua-dua tali pinggang.

Tarikh 18 Disember kini menjadi antara yang paling dinantikan peminat Muay Thai negara.

Jika Aliff berjaya menewaskan Prajanchai, dia bukan sahaja akan membawa pulang satu lagi kemenangan besar, malah secara rasmi menjadi Juara Dunia ONE Strawweight Muay Thai yang mutlak.

Daripada menewaskan Sam-A untuk gelaran interim kepada kini berdepan Prajanchai untuk kejuaraan mutlak, perjalanan Aliff Rakib bakal mencapai kemuncaknya di Bangkok.