SUKAN

Bukan hanya Aaron-Wooi Yik dipisahkan

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan meneruskan proses penstrukturan semula skuad beregu lelaki kebangsaan dengan menguji lebih banyak kombinasi baharu dalam usaha mencari gandingan paling mantap menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Langkah itu tidak terhenti dengan pemisahan pasangan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perancangan lebih besar yang dirangka bagi memperkukuhkan peluang Malaysia memburu pingat emas Olimpik pertama dalam sejarah negara.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, rombakan tersebut dilakukan selepas mengambil kira keperluan jangka panjang pasukan serta kemunculan beberapa pemain muda yang menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh kebelakangan ini.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat hasil perbincangan bersama ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Iman Pierngadi, serta Datuk Seri Lee Chong Wei yang turut melihat keperluan menyediakan lebih banyak pilihan berkualiti untuk masa depan.

“Memang kita melihat ke hadapan untuk LA2028. Bukan bermakna Aaron dan Wooi Yik sudah tiada masa depan sebagai pasangan, tetapi kita juga perlu melihat ramai pemain muda yang bagus.

“Jadi kenapa kita tidak cuba melakukan ‘mix and match’ antara pemain muda dan pemain yang lebih berpengalaman,” katanya.

Rexy menjelaskan bahawa fokus utama ketika ini bukan sekadar menilai kemampuan satu pasangan tertentu, tetapi membina kelompok pemain yang lebih kompetitif menerusi pendedahan berterusan di peringkat tertinggi.

Beliau melihat proses pertukaran pasangan sebagai satu mekanisme penting untuk mempercepatkan pembangunan pemain, selain membantu mereka memahami tuntutan sebenar badminton antarabangsa yang semakin mencabar.

Dalam masa sama, BAM mahu mengurangkan kebergantungan kepada beberapa pasangan utama dan memperluaskan peluang kepada lebih ramai pemain untuk mengumpul pengalaman beraksi di kejohanan besar.

Pendekatan itu diyakini mampu memperkukuhkan kedalaman skuad negara serta menyediakan lebih banyak alternatif sekiranya berlaku perubahan prestasi atau keperluan taktikal menjelang temasya Olimpik.

Katanya, suasana baharu dalam kem latihan kebangsaan juga penting bagi memastikan pemain terus berkembang dan tidak berada terlalu lama dalam zon selesa yang boleh menjejaskan proses peningkatan prestasi.

“Ini satu tindakan yang perlu berani dibuat. Saya anggap ia satu pembaharuan yang sangat baik, kita mahu pemain muda mendapat pengalaman bermain bersama pemain senior dan memahami apa yang diperlukan untuk menjadi juara di pentas besar,” katanya.

Menurut Rexy, strategi seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam badminton antarabangsa kerana beberapa kuasa besar dunia sudah lama mengamalkannya.

Beliau merujuk kepada China dan Korea Selatan yang kerap melakukan perubahan kombinasi pemain sebelum akhirnya menemukan pasangan paling sesuai untuk bersaing di pentas tertinggi.

Bagi kejohanan Terbuka Jepun, Wooi Yik akan digandingkan bersama Man Wei Chong sebagai sebahagian daripada percubaan yang sedang dirancang oleh barisan kejurulatihan negara.

Dalam masa sama, Kang Khai Xing akan bergandingan dengan Aaron Tai, manakala Wan Arif Wan Junaidi dipasangkan bersama Yap Roy King.

Rexy turut menjelaskan bahawa perancangan asal untuk menggandingkan Aaron Chia bersama Tee Kai Wun di Terbuka Jepun dan Terbuka China tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Menurut beliau, faktor mata kelayakan yang dimiliki pasangan tersebut menyebabkan rancangan berkenaan terpaksa diubah bagi memastikan penyertaan pemain dapat disesuaikan dengan keperluan kejohanan.

Sebagai alternatif, Aaron dijadualkan bergandingan dengan Aaron Tai dalam tiga kejohanan iaitu Terbuka China, Terbuka Taipei dan Terbuka Korea.

Pada masa yang sama, Kai Wun akan membentuk kombinasi baharu bersama Roy King dalam usaha memberi peluang kepada kedua-dua pemain menyesuaikan diri dengan peranan serta corak permainan yang berbeza.

Melalui pendekatan itu, BAM berharap proses penilaian dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh, sekali gus membantu mengenal pasti kombinasi paling berpotensi untuk menjadi sandaran negara dalam tempoh menuju Los Angeles 2028.