SUKAN

Piala Dunia : Pasukan kerdil lakar kejutan Terbesar

Bosnia dan Herzegovina meneruskan kisah luar biasa mereka dalam kempen Piala Dunia apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik selepas menewaskan Qatar 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Kemenangan tersebut mengukuhkan lagi reputasi Bosnia sebagai antara pasukan yang paling sukar diramal dalam kejohanan kali ini. Selepas mencipta kejutan dengan menewaskan Wales dan Itali pada pusingan kelayakan, skuad itu sekali lagi membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pelengkap jadual, sebaliknya memiliki keupayaan untuk mencabar mana-mana lawan di pentas tertinggi bola sepak dunia.

Kejayaan menundukkan Qatar turut memperlihatkan perkembangan positif yang sedang berlaku dalam pasukan kendalian Sergej Barbarez. Gabungan pemain berpengalaman dan kelompok pemain muda berbakat membentuk skuad yang semakin seimbang dari segi kualiti, ketahanan mental dan keupayaan menghadapi tekanan perlawanan besar.

Pemain yang paling mencuri perhatian dalam perlawanan itu ialah Kerim Alajbegovic. Pemain berusia 18 tahun itu menghasilkan gol pembukaan yang menarik untuk memberikan kelebihan awal kepada Bosnia sekali gus meletakkan pasukannya di landasan terbaik untuk memburu kemenangan penting.

Bosnia kemudian terus meningkatkan tekanan ke atas Qatar dan berjaya menambah jaringan kedua hasil situasi yang berpunca daripada hantaran Edin Dzeko. Bola yang terkena pertahanan lawan akhirnya menerjah gawang dan memberikan kelebihan lebih selesa buat pasukan Eropah itu.

Walaupun Qatar berusaha untuk kembali memberi saingan dengan merapatkan jurang jaringan, Bosnia tidak kehilangan fokus. Mereka kekal berdisiplin dalam corak permainan serta berjaya mengawal rentak perlawanan ketika lawan cuba meningkatkan intensiti serangan.

Segala harapan Qatar untuk bangkit akhirnya dipadamkan oleh Ermin Mahmic apabila pemain berusia 21 tahun itu meledak gol ketiga Bosnia. Jaringan tersebut mengesahkan kemenangan mutlak pasukan berkenaan dan memastikan tempat mereka dalam kelompok 32 pasukan terbaik kejohanan.

Ketika meraikan gol tersebut, Mahmic menanggalkan jersinya dan menerima kad kuning daripada pengadil. Namun, perkara itu tidak dianggap sebagai isu besar oleh Barbarez yang melihat tindakan berkenaan dalam konteks emosi dan kepentingan jaringan yang dihasilkan.

“Kami sedia maklum bahawa rekod kad kuning akan dipadamkan selepas tamat peringkat kumpulan. Jadi, ia bukanlah satu masalah besar untuk menerima kad kuning demi jaringan yang membawa makna sekecil itu,” ujar beliau.

Sementara itu, Barbarez turut mengakui bahawa pencapaian pasukannya melepasi peringkat kumpulan merupakan sesuatu yang amat bermakna buat seluruh skuad. Menurut beliau, status Bosnia sebagai pasukan bukan pilihan tidak pernah menghalang mereka daripada memasang cita-cita besar dalam kejohanan tersebut.

“Kami datang ke kejohanan ini sebagai pasukan yang bukan pilihan sepenuhnya. Namun, kami tetap cuba melakukan sesuatu yang besar serta penting, dan kini impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” katanya kepada pihak media.

Walaupun kelihatan tenang sepanjang berada di kawasan teknikal, pengendali itu mengakui beliau sebenarnya sedang menahan perasaan gembira yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Apabila saya terlalu gembira, saya biasanya akan menjadi lebih tenang. Saya tidak melompat atau menyanyi, tetapi perasaan (teruja) itu pasti akan datang malam ini atau esok pagi. Ia sesuatu yang luar biasa dan tiada perkataan yang dapat menggambarkan kebahagiaan saya ketika ini,” katanya lagi.

Barbarez turut melihat pencapaian semasa sebagai petanda positif terhadap masa depan bola sepak Bosnia. Dengan kemunculan beberapa pemain muda yang semakin menyerlah serta kehadiran tonggak berpengalaman seperti Dzeko, beliau percaya skuad tersebut memiliki asas kukuh untuk terus berkembang pada masa hadapan.

Malah, Bosnia kini memasuki fasa seterusnya dengan keyakinan tinggi selepas membuktikan kemampuan mereka dalam beberapa perlawanan penting. Sekiranya mara sebagai salah satu daripada lapan pasukan di tempat ketiga terbaik, mereka bakal berdepan cabaran besar menentang tuan rumah, Amerika Syarikat, di Los Angeles.

Bagaimanapun, keyakinan dalam kem Bosnia jelas berada pada tahap terbaik ketika ini.

“Saya fikir kami kini berada di tahap keyakinan tertinggi untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja,” tegas Barbarez.