England mengesahkan status sebagai juara Kumpulan L selepas menewaskan Panama 2-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia hasil persembahan cemerlang Jude Bellingham yang menyumbang satu gol serta satu bantuan jaringan kepada Harry Kane di Stadium New York/New Jersey.
Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Thomas Tuchel menamatkan saingan dengan tujuh mata, sekali gus mengatasi Croatia yang mengumpul enam mata selepas menewaskan Ghana 2-1 dalam satu lagi perlawanan kumpulan. Ghana menutup kempen dengan empat mata, manakala Panama menamatkan saingan tanpa sebarang mata selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.
Keputusan tersebut turut mengesahkan kemaraan England ke pusingan 32 terakhir, dengan mereka bakal berdepan salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik dalam saingan seterusnya.
Walaupun menguasai sebahagian besar permainan, England berdepan tentangan sengit daripada Panama yang tampil berdisiplin sepanjang babak pertama. Skuad Three Lions mengawal penguasaan bola dan berusaha memecahkan benteng lawan, namun gagal menghasilkan penyudah yang berkesan sehingga tamat separuh masa pertama.
Tekanan berterusan yang diberikan England akhirnya membuahkan hasil selepas perlawanan melepasi sejam permainan. Bellingham muncul memecahkan kebuntuan pada minit ke-62 menerusi penyudah tenang selepas memanfaatkan situasi kelam-kabut hasil sepakan penjuru Bukayo Saka.
Bola yang jatuh dalam kawasan penalti berjaya disambar Bellingham walaupun dikawal rapat beberapa pemain Panama. Pemain tengah itu menyempurnakan peluang berkenaan menerusi rembatan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Panama, Orlando Mosquera, sekali gus memberikan kelebihan yang amat diperlukan England.
Jaringan pembukaan itu nyata mengubah rentak permainan apabila England tampil dengan lebih yakin untuk terus mengasak kubu lawan. Hanya lima minit selepas gol pertama, Bellingham sekali lagi memainkan peranan penting apabila menghantar bola lintang tepat ke arah Harry Kane.
Penyerang berpengalaman itu tidak mensia-siakan peluang yang terhidang apabila menanduk kemas bola masuk ke gawang Panama untuk menggandakan kelebihan England pada minit ke-67.
Gol tersebut bukan sekadar mengukuhkan kedudukan England, malah membawa makna besar buat Kane apabila ia menjadi jaringan ke-11 beliau di pentas Piala Dunia. Rekod itu membolehkan beliau mengatasi pencapaian Gary Lineker yang sebelum ini memegang rekod penjaring terbanyak England dalam sejarah kejohanan dengan 10 gol.
Selepas tamat perlawanan, Kane menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil persembahan yang kukuh daripada seluruh pasukan walaupun mengakui England mengambil sedikit masa untuk menemui rentak sebenar.
“Ia satu lagi persembahan yang mantap menentang pasukan yang mempunyai pemain pantas dan berbahaya.
“Mereka ada beberapa peluang, tetapi secara keseluruhan kami mengawal permainan dengan baik. Separuh masa pertama kami sedikit longgar di kawasan serangan, namun lebih baik selepas rehat.
“Secara keseluruhan ia kemenangan yang baik. Rekod ini juga sesuatu yang membanggakan dan saya harap bukan yang terakhir,” kata Kane.
Sebelum jaringan pembukaan diperoleh, England sebenarnya hampir mendahului seawal minit ketujuh menerusi Marcus Rashford. Bagaimanapun, percubaan pemain itu berjaya dinafikan Mosquera yang bertindak cemerlang memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan.
Panama turut mempunyai peluang untuk menguji benteng England apabila Jose Rodriguez melepaskan percubaan pada minit ke-26. Namun Jordan Pickford berada di posisi terbaik untuk melakukan penyelamatan penting dan memastikan England tidak dibolosi.
Sepanjang babak pertama, England terus mendominasi penguasaan permainan, namun berdepan kesukaran menghasilkan peluang berkualiti yang mampu diterjemahkan kepada jaringan. Panama pula kekal berdisiplin ketika bertahan dan menunggu peluang melakukan serangan balas.
Tuchel melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama selepas keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Ghana sebelum ini. Reece James diketepikan akibat kecederaan hamstring dengan Jarell Quansah mengisi posisi bek kanan, manakala Nico O’Reilly kembali beraksi di bahagian bek kiri.
Declan Rice pula direhatkan dengan Morgan Rogers diberi tanggungjawab mengemudi bahagian tengah. Di bahagian serangan, Bukayo Saka dan Marcus Rashford disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Noni Madueke serta Anthony Gordon.
Perubahan yang dilakukan itu akhirnya memberikan impak positif apabila England berjaya meningkatkan tempo permainan pada babak kedua sebelum memastikan kemenangan menerusi sentuhan Bellingham dan Kane.
Selain kemenangan yang mengesahkan England sebagai juara kumpulan, penghujung perlawanan turut menyaksikan Jordan Henderson mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pemain England pertama yang beraksi dalam empat edisi Piala Dunia.