Pesanan jaguh pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi menjadi antara sumber kekuatan buat Danish Iftikhar Muhammad Roslee sebelum pelari Johor itu mempertahankan pingat emas acara 100 meter lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Danish Iftikhar, 19, menepati ramalan apabila muncul juara acara riben biru olahraga itu dengan catatan 10.27 saat, sekali gus mempertahankan emas yang dimenanginya pada SUKMA Sarawak 2024.
Bermula di lorong keempat, Danish mengetepikan cabaran atlet Kedah, Muhammad Umaira Subri yang meraih perak menerusi catatan 10.31s, manakala seorang lagi pelari Kedah, Muhammad Dzul Danish Jamari membawa pulang gangsa selepas merekodkan 10.37s.
Kemenangan itu turut menyaksikan Danish mencatat masa terbaik musim ini dalam perlumbaan yang disifatkannya penuh tekanan kerana barisan finalis terdiri daripada pelari terbaik negara.
Menurut Danish, pesanan Azeem sebelum perlumbaan membantu dirinya mengekalkan ketenangan ketika berdepan tekanan sebagai juara bertahan.
“Dia pesan supaya buat yang terbaik dan kekal relaks. Disebabkan itu, Alhamdulillah saya berjaya melakukannya.
“Bukan daripada dia sahaja, tetapi sokongan keluarga, ibu bapa, rakan-rakan serta universiti saya sendiri, UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) turut menjadi sumber kekuatan untuk saya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Danish berkata tekanan yang dihadapinya kali ini jauh berbeza berbanding penampilan sulung pada SUKMA Sarawak dua tahun lalu apabila dia hadir tanpa status sebagai pilihan utama.
“Pada SUKMA pertama, saya dianggap ‘underdog’. Saya datang tanpa tekanan dan berjaya melakukannya. Tetapi kali ini banyak tekanan kerana semua pelari dalam senarai adalah atlet terbaik yang ada di Malaysia.
“Alhamdulillah saya dapat mengawal tekanan itu dan saya sangat berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan serta UPSI yang banyak membantu saya,” katanya.
Saingan sengit sepanjang perlumbaan turut menjadi pemangkin kepada catatan terbaik musim Danish.
“Ya, ini memang catatan terbaik musim ini. Mereka semua memberi saingan yang baik dan disebabkan itu saya dapat melakukan yang terbaik,” katanya.
Walaupun catatan 10.27s itu masih belum mengatasi rekod kejohanan SUKMA milik Khairul Hafiz Jantan, 10.18s yang dilakukan pada edisi Sarawak 2016, Danish masih menyimpan sasaran untuk memburu rekod berkenaan sebelum tamat usia 21 tahun.
“Itu adalah sasaran saya sebelum habis umur 21 tahun. Saya masih ada satu lagi SUKMA dan InsyaAllah jika diberi peluang serta kelebihan, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” katanya.
Danish turut berdepan detik mencabar apabila berlaku false start dalam perlumbaan akhir, namun berjaya mengawal emosi sebelum kembali memberi tumpuan.
“Selepas false start, saya hanya berselawat untuk kawal diri. Saya fikir tiada ruang untuk melakukan kesilapan dalam pertandingan ini dan alhamdulillah semua berjalan baik,” katanya.
Dalam acara 100m wanita, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira pula menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila muncul ratu pecut SUKMA selepas menukar pingat perak di Sarawak kepada emas kali ini.
Pelari Terengganu itu mencatat 11.73s untuk menewaskan atlet Selangor, Lim Mei Yin yang meraih perak dengan 11.96s, manakala Alvinia Aivie Jackly dari Sarawak meraih gangsa menerusi catatan 12.07s.
“Alhamdulillah dengan pencapaian hari ini. Walaupun saya tidak dapat catatkan PB, saya tetap teruja kerana akhirnya dapat pingat emas dan menebus kembali keputusan edisi 2024.
“Walaupun hujan rintik-rintik, Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan emas,” katanya.
Izzatul berkata perjalanan selepas SUKMA 2024 bukan mudah apabila dia berdepan kecederaan, namun pengalaman itu dijadikan dorongan untuk bangkit.
“Selepas SUKMA 2024 saya mengalami kecederaan. Saya gunakan kecederaan itu untuk meningkatkan motivasi sehingga hari ini.
“Perjalanan ini ada jatuh bangun, pahit manis, tetapi saya gembira dengan pencapaian hari ini,” katanya.