SUKAN

Sah! Hukuman kekal, AFC tolak rayuan serta merta

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menolak sepenuhnya rayuan Persib Bandung berhubung hukuman yang dikenakan susulan insiden pencerobohan penyokong ke dalam padang ketika kempen pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Ratchaburi di Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA) pada 18 Februari lalu.

Keputusan itu menyaksikan kelab Indonesia berkenaan kekal diwajibkan membayar denda keseluruhan berjumlah US$200,000 selain menjalani hukuman beraksi tanpa penonton bagi perlawanan di tempat sendiri pada musim akan datang.

Persib turut diarahkan menyelesaikan pembayaran denda berkenaan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis diterima. Hukuman berkenaan kekal berkuat kuasa selepas rayuan mereka tidak diterima AFC atas faktor keselamatan berkaitan insiden yang berlaku selepas perlawanan tersebut.

Dalam aksi kedua pusingan 16 itu, Pangeran Biru mencatat kemenangan 1-0 ke atas Ratchaburi di GBLA. Bagaimanapun, keputusan berkenaan tidak mencukupi untuk mengatasi defisit tiga gol yang dimiliki pasukan lawan, sekali gus menamatkan cabaran Persib dalam kejohanan.

Penyingkiran tersebut mencetuskan kekecewaan dalam kalangan penyokong sebelum berlaku pergolakan di stadium selepas perlawanan. Keadaan itu kemudian membawa kepada tindakan tatatertib yang menyaksikan Persib dikenakan denda besar dan hukuman berkaitan kehadiran penonton.

Persib kini dijadualkan menentang Manila Digger dalam aksi playoff ACL2 musim 2026/27 pada 31 Ogos 2026. Perlawanan berkenaan akan berlangsung secara tertutup di sebuah stadium susulan hukuman yang dikenakan terhadap kelab itu.

Bagaimanapun, penggantungan bagi perlawanan kedua di tempat sendiri diletakkan di bawah tempoh percubaan selama dua tahun. Mengikut peraturan AFC, sebarang kesalahan serupa yang dilakukan Persib sepanjang tempoh berkenaan boleh menyebabkan langkah tatatertib tambahan diambil.

Dalam perkembangan berasingan, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dilaporkan sekali lagi mengenakan sekatan perpindahan atau transfer ban terhadap Persib bagi tempoh tiga jendela perpindahan.

Pada Mac lalu, kelab itu turut dilaporkan menerima hukuman hampir sama berhubung isu penamatan kontrak seorang bekas pemain yang dilepaskan lebih awal sehingga perkara berkenaan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Laman rasmi Persib menjelaskan hukuman terbaharu itu berkaitan kes lama yang berlaku pada 2022 susulan laporan daripada bekas jurulatih, Robert Rene Alberts.

Situasi berkenaan menyaksikan Persib berdepan dua isu tatatertib berbeza melibatkan badan induk bola sepak Asia dan dunia ketika kelab itu sedang membuat persiapan menghadapi kempen ACL2 musim 2026/27.