SUKAN

Kemen Aaron Chia status kecederaan

Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berhasrat mengalah dalam usaha memburu kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir BWF 2026 apabila merancang menyertai tiga kejohanan berturut-turut bulan depan meskipun Wooi Yik masih dalam proses pemulihan kecederaan tumit kanan.

Aaron mengesahkan keputusan itu ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini, selepas menamatkan kempen Terbuka Perancis yang menyaksikan mereka terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Menurutnya, keadaan Wooi Yik semakin baik dan kecederaan yang dialami pemain berusia 28 tahun itu tidak serius, sekali gus membolehkan mereka meneruskan perancangan pertandingan bagi menghadapi penghujung musim.

“Keadaan saya baik dan pasangan saya juga dalam keadaan baik. Kecederaan tumitnya tidak serius. Kami masih dalam proses pemulihan, tetapi akan ke Korea, Jepun dan Hong Kong untuk kejohanan akan datang,” kata Aaron.

Pasangan ranking keempat dunia itu kini menghuni kedudukan ketujuh dalam senarai kelayakan Jelajah Dunia Akhir dan perlu mempertahankan kedudukan tersebut untuk memastikan tempat mereka tidak dipintas pencabar lain.

Aaron-Wooi Yik dijadualkan memulakan kempen bulan depan menerusi Terbuka Korea yang berlangsung dari 3 hingga 8 November sebelum meneruskan saingan di Masters Kumamoto, Jepun pada 10 hingga 15 November.

Mereka kemudian akan beraksi di Terbuka Hong Kong dari 17 hingga 22 November sebagai satu lagi peluang penting mengumpul mata kelayakan.

Aaron berkata, ketiga-tiga kejohanan berkenaan perlu diberikan perhatian sepenuhnya kerana setiap keputusan berpotensi mempengaruhi peluang mereka untuk beraksi dalam kejohanan penutup musim di Hangzhou, China.

“Kami perlu memberikan segala-galanya dalam tiga kejohanan akan datang kerana kejohanan itu juga akan membantu kami mengumpul lebih banyak mata untuk kelayakan Jelajah Dunia Akhir. Jadi, kami akan turun beraksi dan melihat bagaimana keadaannya,” katanya.

Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik terpaksa menghentikan permainan ketika berdepan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada suku akhir Terbuka Perancis.

Mereka menarik diri ketika ketinggalan 0-5 dalam set pembukaan selepas kecederaan Wooi Yik yang dialami sejak pusingan pertama menjejaskan kemampuannya untuk meneruskan perlawanan.

Keputusan tersebut memberikan laluan kepada Wei Chong-Kai Wun untuk mara ke separuh akhir sebelum pasangan berkenaan muncul juara kejohanan Super 750 itu.

Walaupun kempen di Perancis berakhir lebih awal, Aaron-Wooi Yik sebelum itu menunjukkan perkembangan positif apabila muncul naib juara Terbuka Denmark selepas kembali bergandingan.

Kedua-duanya disatukan semula selepas perubahan gandingan selama kira-kira tiga bulan di bawah kendalian ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.

Mengulas mengenai keserasian mereka, Aaron menegaskan pengalaman panjang sebagai pasangan membolehkan kedua-duanya kembali menyesuaikan diri tanpa menghadapi masalah besar.

Sementara itu, pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sudah mengesahkan tempat ke Jelajah Dunia Akhir selepas mendahului senarai kelayakan.

Kejohanan yang berlangsung dari 9 hingga 13 Disember itu menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai kira-kira RM14.3 juta dengan hanya lapan pasangan layak bertanding dalam kategori beregu lelaki.

Bagaimanapun, Aaron enggan terlalu awal membincangkan sasaran untuk mara ke peringkat kalah mati.

“Kami mahu melepasi peringkat kelayakan terlebih dahulu sebelum bercakap mengenainya,” katanya.

Bagi Aaron-Wooi Yik, tiga kejohanan pada November kini menjadi medan penting untuk memastikan peluang mereka ke Jelajah Dunia Akhir terus terbuka.