Hasrat skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara untuk melangkah ke saingan Tier A Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 tidak kesampaian selepas tewas tipis 0-1 kepada Mexico dalam aksi terakhir Kumpulan H di Baku, Azerbaijan, malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan skuad kendalian P. Maniam terpaksa berpuas hati sebagai naib juara kumpulan dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.
Mexico pula mengesahkan tempat ke Tier A selepas menamatkan peringkat kumpulan dengan rekod sempurna lima kemenangan untuk mengumpul maksimum 15 mata.
Dalam pertembungan di Kompleks Pertandingan Hovsan, Malaysia berdepan cabaran sengit daripada pasukan Amerika Utara itu yang memiliki kelebihan dari segi penguasaan bola dan fizikal.
Mexico akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan pada penghujung separuh masa pertama untuk mendahului 1-0.
Skuad negara cuba memberikan tentangan dalam usaha mendapatkan gol penyamaan, namun gagal mencari jaringan sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Harimau Muda selepas berjaya mencatat keputusan positif dalam empat perlawanan terdahulu.
Malaysia sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Dominica sebelum meneruskan momentum apabila menewaskan Syria dengan keputusan sama.
Anak buah Maniam kemudian mencatat kemenangan terbesar mereka dalam kumpulan selepas membelasah Ethiopia 5-0.
Bagaimanapun, rentak kemenangan skuad negara terhenti ketika berdepan Hungary apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Dalam perlawanan tersebut, Iman Lutfi Zairol Hisham muncul penyelamat Malaysia apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-23 untuk memadamkan kelebihan lawan.
Keputusan seri itu membolehkan Malaysia mengekalkan peluang merebut kedudukan teratas kumpulan menjelang pertemuan terakhir menentang Mexico.
Namun, skuad negara memerlukan kemenangan untuk memintas lawan yang ketika itu mendahului kumpulan dengan rekod sempurna.
Kekalahan 0-1 akhirnya memastikan Mexico menamatkan saingan selaku juara Kumpulan H, manakala Malaysia perlu meneruskan perjuangan dalam Tier B.
Bagaimanapun, kedudukan tersebut tidak bermakna Harimau Muda tersingkir sepenuhnya daripada kejohanan.
Berdasarkan format yang diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semua pasukan akan meneruskan saingan pada peringkat kedua mengikut tahap persaingan yang ditentukan berdasarkan kedudukan kumpulan.
Juara kumpulan ditempatkan dalam Tier A yang menawarkan gelaran juara keseluruhan kejohanan, manakala pasukan di kedudukan kedua akan bersaing dalam Tier B.
Malaysia kini dijadualkan meneruskan kempen dari 28 hingga 30 Oktober dengan sasaran memberikan saingan terbaik dalam kelompok berkenaan.
Walaupun gagal merebut tempat ke Tier A, pencapaian tiga kemenangan dan satu keputusan seri sebelum kekalahan kepada Mexico memberikan pengalaman berharga kepada skuad muda negara dalam kejohanan antarabangsa yang julung kali dianjurkan itu.